City belum menang apa-apa lagi - Gundogan

Oleh Penulis Jemputan 13 Disember 2017 922
City belum menang apa-apa lagi - Gundogan
Ilkay Gundogan menegaskan bahawa Manchester City belum memenangi apa-apa lagi musim ini walaupun menunjukkan satu prestasi mengagumkan yang menyaksikan skuad Pep Guardiola menjarakkan diri kepada 11 mata di puncak Liga Perdana Inggeris.

City terus mencipta rekod terbaiknya dengan melakar kemenangan ke-14 berturut-turut dalam liga selepas menewaskan pesaing terdekat, Manchester United, 2-1 di Old Trafford, Ahad lalu.

Ketika Jose Mourinho berkata persaingan merebut gelaran 'mungkin sudah berakhir' selepas kekalahan 'derby' itu, Gundogan dan City tidak akan leka dengan baki 22 perlawanan lagi.

"Kami belum memenangi apa-apa lagi," kata pemain antarabangsa Jerman itu menjelang kunjungan ke Swansea City, awal pagi esok.

"Kami belum mencapai separuh perlawanan musim ini. Masih banyak perlawanan untuk diharungi dan lebih banyak mata perlu dikutip.

"Kami hanya menikmatinya pada masa ini -- menikmatinya mungkin lebih daripada 19 pasukan lain dalam liga. Saya rasa ia bagus untuk masa ini.

"Kami sedar bahawa kami berada dalam keadaan yang baik buat hari ini, musim ini sangat baik dalam semua pertandingan -- bukan sekadar liga -- jadi kami yakin pada minggu depan, bulan dan perlawanan seterusnya. Tidak lebih dan tidak kurang.

"Masih banyak lagi tugas yang menunggu kami, terutama pada bulan ini. Jelas, ia adalah sama untuk setiap pasukan tetapi ia sukar dan mencabar. Jadi, kami akan memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya," katanya.

City bersaing untuk pelbagai kejayaan setelah diundi bertemu Basel dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah dan menentang Leicester City dalam suku akhir Piala EFL, Rabu depan.

Walaupun kecederaan menimpa kapten, Vincent Kompany, dan pemain pertahanan, John Stones dan Benjamin Mendy, menyukarkan skuad City, Gundogan percaya Guardiola mempunyai cukup pilihan dalam pelbagai pertandingan.

"Kami mempunyai ramai pemain berkualiti, ia luar biasa," katanya. "Kami boleh menukar satu, dua, tiga, empat pemain." 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen