Mikel Arteta percaya Willian seorang pemain yang mampu memberikan semangat kepada Arsenal untuk mengejar lebih banyak gelaran dan mengakhiri saingan di kelompok empat terbaik.

Willian menandatangani kontrak tiga tahun bersama Arsenal bulan lalu selepas meninggalkan Chelsea sebagai ejen bebas.

Pemain berusia 32 tahun yang berhijrah ke Chelsea dari Shakhtar Donetsk pada 2013 itu telah meledak 37 gol dan 33 bantuan jaringan dalam 234 aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama The Blues.

Arteta berasakan pemain kebangsaan Brazil itu mampu memberikan keseimbangan dalam pasukan, dan tidak bimbang dengan usia dan cita-cita Willian.

"Dengan semua perbualan bersamanya, perkara paling penting adalah keazamannya dan dia mahu menjadi pemain yang membawa pasukan ke hadapan," kata Arteta.

"Seperkara lagi mengenainya adalah dia sentiasa bersedia. Anda dapat melihat bilangan perlawanan yang disertainya musim lalu bersama Chelsea.

"Saya tidak bimbang, kami memerlukan keseimbangan dan kami juga memiliki bakat-bakat muda. Kami juga pemain berpengalaman yang mampu memberikan persembahan."

Arteta bersara daripada beraksi pada 2016 pada usia 34 tahun, dengan bekas pemain tengah Everton dan Arsenal bergelut dengan kecederaan apda penghujung kariernya, namun menegaskan situasi Willian tidak boleh dibandingkan.

"Dia lebih cergas [berbanding saya]. Jangan banding Willian dengna saya, saya contoh yang tidak baik!" kata Arteta.