Pengurus baru Everton, Sam Allardyce, berkata dia tertarik dengan cita-cita kelab itu biarpun sebelum ini mendakwa tidak berminat untuk kembali ke tugasan harian dalam pengurusan.

Everton mengumumkan perjanjian yang dimeterai itu secara rasmi, malam tadi, apabila mengesahkan pelantikan Allardyce secara sepenuh masa bagi menggantikan Ronald Koeman.

Pengurus dari Belanda itu dipecat pada 23 Oktober lalu selepas hanya melakar dua kemenangan dalam sembilan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sungguhpun telah berbelanja mewah sebanyak £142 juta (RM785.8j) pada pra-musim.

David Unsworth mengambil alih tugas itu buat sementara waktu, namun gagal memberi inspirasi kepada kelab itu yang turut dikaitkan dengan khidmat Marco Silva dan Sean Dyche.

Akhirnya, Allardyce, yang meninggalkan Crystal Palace pada penghujung musim lalu, menjadi pilihan walaupun pernah menegaskan bahawa dia hanya berminat dengan karier antarabangsa.

"Saya selalu menganggap Everton sebagai sebuah kelab yang hebat," katanya kepada laman sesawang kelab itu.

"Ia adalah kelab yang hebat. Sudah tentu, kelab ini sedang mengharungi tempoh sukar dan mudah-mudahan saya dapat mengatasinya secepat mungkin.

"Ini kerana pada akhirnya, gabungan cita-cita kelab, pemilik dan ahli lembaga pengarah selain sejarah Everton yang hebat menjadi kunci utama saya ke sini.

"Cita-cita adalah penting bagi mana-mana pengurus atau jurulatih, pemilik atau pengarah. Ini adalah apa yang anda perlukan dan diharapkan kami dapat memterjemahkan kepada peminat dalam meletakkan kelab ini di aras yang lebih tinggi.

"Saya fikir dengan apa yang telah berlaku sebelum ini, kami hanya perlu bersatu. Keinginan kami untuk melakukannya bersama-sama akan menjadi jalan untuk ke hadapan," tambahnya.

Pemegang saham terbesar, Farhad Moshiri, menambah: "Saya gembira untuk mengesahkan Sam sebagai pengurus baru kami. Kepimpinannya yang kuat akan membawa motivasi yang besar untuk menyerlahkan kemampuan terbaik pemain.

"Sam memahami cita-cita jangka panjang yang kami miliki untuk kelab hebat ini dan saya tahu dia adalah seorang individu yang mencurahkan yang terbaik dan fokus 24 jam sehari ke atas kelab.

"Peminat Everton adalah yang paling ghairah dan terbaik di dunia dan apabila kelab ini dalam keadaan teruk, kami semua menderita.

"Tetapi perubahan dalam bola sepak sangat pantas, jadi saya berharap ini dapat membantu kami untuk berada di tempat yang sepatutnya.

"Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kami kepada David Unsworth kerana tampil ketika kami memerlukannya sejak beberapa minggu yang lalu. Dia adalah penyokong Everton sejati yang mewujudkan komitmen, kebanggaan dan semangat yang kami rasa untuk kelab ini," ujarnya lagi.

The Toffees juga mengesahkan bahawa Unsworth akan kembali ke peranannya dengan skuad B-23.