Andreas Christensen mendedahkan rasa cintanya buat Chelsea dan pertahanan itu mahu kekal lama di Stamford Bridge.

Masa depan pemain berusia 24 tahun itu tampak samar pada musim lalu selepas hanya mencatat enam penampilan di bawah bimbingan Maurizio Sarri.

Namun, pemain yang menjadi pilihan utama Antonio Conte sewaktu mengendalikan The Blues itu kini meraih 17 penampilan kesebelasan utama di bawah bimbingan Frank Lampard dan kembali menikmati kehidupan di London.

Januari lalu, Lampard berkata dia tidak akan melepaskan khidmat pemain Denmark itu kerana percaya Christensen mampu berkembang menjadi bek tengah hebat di Chelsea.

"Saya tidak pernah memikirkan tempat lain," kata Christensen yang masih memiliki baki dua tahun dalam kontrak di Chelsea.

"Saya tidak meragui situasi yang dihadapi. Perhatian saya sentiasa bersama Chelsea.

"Saya mempunyai kontrak dan sentiasa berusaha untuk memenuhinya, malah mengidamkan untuk kekal lebih lama. Ia tidak berubah.

"Jelas sekali ia situasi berbeza pada musim lalu tetapi saya tetap menyayangi kelab ini."

Lampard melakukan penggiliran di posisi bek tengah untuk Christensen, Kurt Zouma, Antonio Rudiger dan Fikayo Tomori, menyaksikan setiap pemain meraih sekurang-kurangnya 15 penampilan liga bagi musim 2019-20.

Musim ini Chelsea tampak dalam proses perubahan sejak kehadiran Lampard tetapi tetap berupaya mengisi kelompok empat terbaik.

Kehadiran Hakim Ziyech dan Timo Werner pada musim depan jelas membuatkan Christensen gembira dengan masa depan kelabnya itu.

"Kami dalam proses tetapi saya fikir kami lebih ke depan," tambahnya.

"Kami tahu kemampuan yang ada. Kami sangat selesa dan yakin ketika ini. Kami mahu meraih kejuaraan, jadi kenapa tidak?

"Kami dahagakan kejayaan. Kami memiliki keseimbangan yang baik di antara pemain berpengalaman dan muda. Jadi, saya fikir ia adalah matlamat kami."