Bekas Pengarah Teknikal Chelsea, Michael Emenalo, berkata pemain pertahanan, Andreas Christensen, adalah contoh utama sistem pinjaman kelab itu berfungsi.

Tonggak pertahanan Denmark, Christensen, kembali ke Chelsea untuk bersama pasukan pertama selepas menghabiskan tempoh dua tahun pinjaman dengan kelab Bundesliga, Borussia Monchengladbach.

Pemain berusia 21 tahun itu yang berpindah ke Stamford Bridge pada 2012, berada dalam kesebelasan berbanding David Luiz dalam kemenangan 1-0 Chelsea ke atas Manchester United dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu.

Ditanya mengenai langkah pinjaman kelab itu dan sama ada Christensen adalah contoh yang tepat mengenai langkah mereka, Emenalo -- yang meletak jawatan semalam -- memberitahu Chelsea TV: "Sudah tentu.

"Andreas memberi saya hadiah perpisahan yang indah semalam kerana prestasinya membuktikan tahap perkembangannya.

"Pembangunan adalah merangkumi kerendahan hati, kerja keras dan masa yang semua. Andreas telah melakukan ketiga-tiganya.

"Dia menunjukkan kerendahan hati yang besar untuk dipinjamkan dan bekerja keras ketika dia berada di sana serta menimba pengalaman yang diperlukan.

"Kini adalah masa yang tepat buatnya untuk melangkah masuk dan menunjukkan apa yang dipelajarinya semasa dalam tempoh pembangunan."