Chelsea enggan mengambil kesempatan untuk menandatangani Miralem Pjanic daripada Juventus sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran melibatkan khidmat Jorginho, menurut ejen antarabangsa Itali itu, Joao Santos.

Jorginho dikaitkan dengan kepulangan ke Serie A untuk menyertai juara Itali itu ketika Maurizio Sarri masih memegang tampuk pengurusan.

Juve kemudian menggantikan Sarri dengan Andrea Pirlo bulan lalu dan telah menandatangani Arthur daripada Barcelona yang menyaksikan Pjanic menuju ke arah bertentangan.

Begitupun, Santos mendedahkan situasi itu mungkin berubah sekiranya Sarri masih menggalas tanggungjawab berkenaan di Stadium Allianz.


"Juventus telah menawarkan perjanjian pertukaran yang melibatkan Miralem Pjanic, tetapi kelab Inggeris itu enggan mempertimbangkannya," katanya kepada Tuttomercatoweb.

"(Pengarah Sukan Juve, Fabio) Paratici juga tidak pernah menghubungi saya. Adakah dia akan berpindah ke Juventus untuk menyertai Sarri? Saya rasa begitu."

Jorginho telah memperkuatkan The Blues sejak dibeli daripada Napoli dua tahun lalu dan namanya juga disebut-sebut sebagai sasaran Bayern Munich, Paris Saint-Germain (PSG) dan Roma.