Chelsea hanya terikat 0-0 dengan pasukan yang sedang bergelut di zon penyingkiran, Brighton and Hove Albion, dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri awal pagi tadi, di mana pasukan pelawat itu mencuri satu mata di sebalik kontroversi Liga Super Eropah hanya 48 jam selepas ia diumumkan.

Perkembangan sebelum perlawanan itu dibayangi acara di luar padang dengan penyokong Chelsea menghalang laluan bas pasukan The Blues itu daripada masuk ke Stamdord Bridge -- yang mengakibatkan sepak mula ditunda selama 15 minit -- sebelum media mula melaporkan bahawa pemilik kelab itu, Roman Abramovich, mahu melakukan pusingan U daripada menyertai Liga Super Eropah.

Dengan pemain mungkin terkesan dengan isu yang memuncak selama beberapa hari ini, aksi di atas padang pula tidak selari dengan drama pemilik-pemilik kelab, yang telah mencuri tumpuan dunia bola sepak sejak Ahad lalu.

Chelsea agak bernasib baik kerana masih mendapatkan satu mata dalam perlawanan itu, di mana Brighton bermain dengan cukup berkesan sebelum Ben White diarahkan keluar padang dalam waktu kecederaan.

Prestasi Chelsea dalam babak pertama tidak seperti "berkualiti terbaik dunia" yang digambarkan persatuan Liga Super Eropah dengan percubaan tepat amat sukar dilihat dapat dilakukan pasukan itu.

Peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-20 apabila Robert Sanchez melakukan aksi menyelamat jarak dekat bagi menafikan percubaan Hakim Ziyech selepas Adam Webster melakukan kesilapan dalam kawasan bahaya.

Sebahagian besar perlawanan itu kekal berentak perlahan sepanjang sejam berikutnya sehinggalah Brighton mula menyemarakkannya pada penghujung permainan.

Pada minit ke-78, Adam Lallana melakukan percubaan yang tersasar dari jarak 20 ela dan Danny Walbeck pula melepaskan rembatan ke arah tiang kanan gawang lawan dari jarak sama tidak lama selepas itu.

Usaha yang dilakukan Brighton itu terbantut dalam waktu kecederaan apabila Ben White dilayangkan kad kuning kedua susulan menerjah Callum Hudson-Odoi.

Walaupun Chelsea gagal mendapatkan gol kemenangan, satu mata yang diraih itu meletakkan mereka di tangga keempat EPL -- walaupun ia mungkin tidak menjadi fokus ramai orang pada ketika ini.