Victor Moses sekali lagi meninggalkan Chelsea melalui pinjaman apabila bergabung dengan jaguh Russia, Spartak Moscow, untuk musim 2020-21.

Kali terakhir pemain berumur 29 tahun itu beraksi bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan dua tahun lalu dan sejak itu dia sempat menghabiskan tempoh pinjaman di Fenerbahce dan Inter.

Bekas pemain antarabangsa Nigeria itu menyertai The Blues daripada Wigan Athletic pada 2012 tetapi kerap dipinjamkan.

Perpindahan Moses ke Spartak merupakan destinasi keenamnya selepas Liverpool, Stoke City, West Ham, Fenerbahce dan Inter.

Spartak, yang berada di kedudukan kedua di belakang Zenit selepas 10 perlawanan Liga Perdana Russia, mengesahkan mereka mempunyai pilihan untuk menebus kontrak Moses pada akhir tempoh pinjamannya.

"Spartak Moscow dan Chelsea telah mencapai persetujuan mengenai perpindahan bintang Nigeria, Victor Moses, ke kelab kami," tulis mereka di Twitter.

"Perjanjian pinjaman dengan pemain tengah berusia 29 tahun itu sampai akhir musim dengan pilihan untuk membelinya!"


Moses membuat 20 penampilan bersama Inter musim lalu termasuk terlibat dalam lima perlawanan Liga Europa ketika mereka mara ke final sebelum tewas kepada Sevilla.