CHELSEA 0 SOUTHAMPTON 2

Frank Lampard berkata skuad Chelsea kendaliannya perlu "cepat belajar" selepas mengalami kekalahan 2-0 kepada Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam.


Empat hari selepas melakar kemenangan ke atas Tottenham, penghuni tangga keempat, Chelsea, sekali lagi bergelut di Stamford Bridge berikutan kekalahan kepada West Ham dan Bournemouth dengan satu lagi aksi hambar.

Walaupun skuad kendalian Lampard itu mendominasi 66.5 peratus permainan, mereka masih kekurangan kualiti untuk menembusi benteng akhir lawan dan telah ditewaskan Southampton yang bertahan dengan baik dan menjaringkan dua gol menerusi Michael Obafemi dan Nathan Redmond.

"Kami perlu lebih mantap ketika menyerang, ia semudah itu. Kami perlu lakukan lebih lagi," kata Lampard kepada Amazon Prime.

"Ia cerita yang sama seperti perlawanan sebelum ini. Pujian harus diberikan kepada Southampton, mereka memiliki perancangan yang rapi dan meraih gol menerusi serangan balas."

Ditanya mengenai aksi kurang konsisten daripada barisan pemain-pemain muda, Lampard berkata, "Mungkin. Ia sebahagian daripada proses. Tetapi kami seharusnya beraksi dengan lebih cemerlang di laman sendiri. Kami perlu pantas belajar daripada kelemahan yang dilakukan."

"Ia merupakan perlawanan berbeza jika dibandingkan ketika bertemu Tottenham, perlawanan yang terbaik kerana kedua-dua pasukan berusaha mencari kemenangan.

"Kami mengawal permainan (berdepan Southampton) tetapi tidak klinikal dalam kotak penalti."

Chelsea kini tewas dua kali berturut-turut di laman sendiri buat kali pertama sejak 2011 di bawah kendalian Andre Villas-Boas tetapi kemenangan keempat daripada enam peralwanan sesuatu yang menakjubkan buat Southampton, yang kini di tangga ke-14, dua bulan sejak tewas 9-0 di laman sendiri kepada Leicester City.

"Saya berasakan ini merupakan persembahan terbaik musim ini. Persembahan terbaik sejak saya mengambil alih pasukan," kata pengendali The Saints, Ralph Hasenhuttl.