David Luiz kini terdesak untuk menyesuaikan diri dengan percaturan pengendali Chelsea, Maurizio Sarri, dalam usaha meraih kejayaan dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Skuad The Blues mempamerkan perkembangan positif ketika kempen pra-musim tetapi gagal meneruskannya dalam aksi Perisai Komuniti susulan kekalahan 2-0 di tangan Manchester City, kelmarin.

Keputusan itu memberikan Pep Guardiola trofi ketiga sejak tiba di England walaupun bekas pengendali Barcelona itu bergelut ketika musim 2016/17.

Bagaimanapun, Luiz yakin pasukannya tidak akan melalui proses sama.

"Saya harap tidak! Saya berharap agar kami dapat menyesuaikan diri dengannya lebih cepat dan memberi cabaran dalam semua kejuaraan," katanya.

"Apabila anda beraksi untuk kelab besar, anda harus sentiasa bersedia untuk berusaha mendapatkan trofi dan itu yang akan kami lakukan.

"Guardiola adalah jurulatih yang bagus, begitu juga Sarri. Saya harap Sarri akan memberikan kesan yang sama. Itu matlamat kami dan Chelsea akan berusaha mendapatkannya.

"Ketika ini, saya sukakan falsafah yang dibawanya, termasuk caranya bekerja, mengendalikan latihan serta kecintaan Sarri terhadap bola sepak."

Persoalan timbul mengenai kemampuan Luiz untuk menyesuaikan diri dengan corak empat pertahanan yang digunakan Sarri berbanding tiga bek tengah sewaktu berada di bawah bimbingan Antonio Conte sebelum ini.

Bagaimanapun, bekas pemain Paris Saint-Germain (PSG) yang berusia 31 tahun itu tidak mengendahkan soal itu sambil mendakwa perubahan tersebut sangat sesuai untuk dirinya.

"Ia tidak menjadi masalah. Anda harus memahami falsafah secara kolektif. Jika anda menang, ia bagus dan itulah kebiasaannya.

"Saya gembira untuk memberikan apa sahaja dalam membantu jurulatih dan pasukan."