Chelsea telah mengaktifkan pilihan untuk melanjutkan kontrak Olivier Giroud sekali gus bakal menyaksikan penyerang itu kekal bersama The Blues bagi musim 2020-21.

Bulan lalu, Chelsea mengaktifkan klausa itu selepas penggempur Perancis itu memasuki tahun akhir dalam kontrak sedia ada, di mana dia bakal bergelar ejen bebas di penghujung musim ini.

Pengendali The Blues, Frank Lampard, sebelum ini membincangkan harapan pasukan untuk mengekalkan khidmat Giroud dan Willian.

Terdapat spekulasi mereka bakal diberikan kontrak lanjutan jangka pendek dalam usaha meneruskan kempen musim 2019-20 sekiranya saingan melebihi Jun depan ekoran wabak coronavirus.

Namun, susulan langkah yang disahkan semalam, Giroud -- yang dikaitkan dengan perpindahan ke Inter Milan -- akan kekal di Stamford Bridge pada musim depan.


"Sejak berada di Chelsea, Giroud sangat hebat secara profesional dan individu," kata Lampard.

Dia memiliki kualiti untuk membantu pasukan di dalam dan luar padang, bukan hanya menerusi bakat yang ada tetapi menjadi contoh yang ditampilkan setiap hari serta pengalaman yang dibawakan buat pemain muda.

"Saya teruja untuk melihat ia berterusan pada musim depan."