Chelsea kritik sikap pilih bulu FIFA 

Oleh Staff Writer 7 Disember 2019 1106
Chelsea kritik sikap pilih bulu FIFA 
Chelsea menempelak Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atas layanan yang "sama sekali berbeza dengan Manchester City" mengenai pelanggaran peraturan perpindahan selepas penggantungan yang dikenakan ke atas kelab London itu dibatalkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Pada Februari lalu, pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan dilarang daripada mendaftarkan pemain baru dalam dua jendela perpindahan berturut-turut oleh badan induk dunia itu atas pelanggaran peraturan yang berkaitan dengan pendaftaran pemain bawah 18 tahun.

Rayuan yang dibuat mereka kemudian tidak diendahkan FIFA bagi membenarkan mereka untuk menandatangani pemain berumur 16 tahun atau lebih muda tetapi pengumuman malam tadi bermakna mereka kini boleh memantapkan pasukan bulan depan. 

The Blues mengambil peluang itu untuk membidas layanan FIFA terhadap mereka dan percaya mereka menerima layanan berbeza berbanding Manchester City, yang dapat mengelakkan penggantungan tersebut pada Ogos lalu walaupun badan pentadbir dunia berkenaan mendapati mereka telah melanggar peraturan pendaftaran pemain bawah 18 tahun. 

Chelsea disiasat atas tindakan berkaitan 27 pemain mereka dari 2009 dan seterusnya menerusi pemahaman bahawa 16 daripada pemain kelab itu telah didaftarkan "berdasarkan tindakan serupa yang dilakukan kelab EPL yang lain ketika itu".

Kelab itu mendakwa mereka menerima bimbingan daripada Persatuan Bolasepak (FA) yang telah menjelaskan permohonan khusus untuk pemain-pemain terbabit tidak diperlukan tetapi FIFA masih memilih untuk mengheret mereka dengan pertuduhan tersebut -- keputusan yang disifatkan Chelsea sebagai "tidak masuk akal".

Lima pemain lagi yang dipersoalkan itu hanya "dianggap" oleh FIFA telah didaftarkan sebelum permohonan pendaftaran dibuat, justeru CAS menjelaskan badan pentadbir dunia berkenaan tidak dibenarkan membuat keputusan itu berdasarkan “tanggapan" semata-mata.

Kenyataan Chelsea itu diakhiri dengan kritikan selanjutnya terhadap FIFA dengan membangkitkan soal "sekatan yang tidak tekal dan tidak adil" sambil mengatakan badan bola sepak dunia tersebut bakal kehilangan kepercayaan sekiranya isu-isu seumpamanya gagal meningkatkan kaedah yang digunakan, seolah-olah merujuk cara pengendalian mereka terhadap kes Manchester City.

City didenda £314,000 (RM1.7 juta) pada Ogos lalu berikutan melanggar peraturan yang berkaitan dengan perpindahan dan pendaftaran pemain muda tetapi mereka dapat mengelak sebarang hukuman penggantungan perpindahan. 

Walaupun ramai yang menjangkakan City akan mengalami nasib yang sama dengan Chelsea, juara Liga Perdana itu mengakui bertanggungjawab terhadap kesalahan pendaftaran dua pemain muda.

Bagaimanapun, Chelsea pula menafikan sebarang salah laku ketika FIFA menuduh mereka melakukan pelanggaran pendaftaran melibatkan 27 pemain.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen