Chelsea mengumumkan keuntungan £32.5 juta (RM78.8j) hasil laporan kewangan terbaru mereka walaupun mengalami penurunan pendapatan akibat COVID-19.

Kelab London terbabit mengeluarkan laporan yang berakhir pada 30 Jun 2020 itu dengan kemerosotan jumlah dagangan -- hasil menerusi hak penyiaran, perlawanan dan komersil -- daripada £446.7j (RM2.4 bilion) kepada £407.4j (RM2.2b) berikutan ancaman pandemik tersebut.

12 bulan sebelum itu, The Blues mencatat kerugian sebanyak £96.6j (RM531.4j) tetapi kemaraan ke Liga Juara-Juara (UCL) selain penjualan pemain menjadi faktor utama di sebalik keuntungan tersebut.

Eden Hazard yang menyertai Real Madrid dalam perjanjian bernilai sekitar £150j (RM825.3j) antara perpindahan lumayan yang terlibat.

Bagaimanapun, senarai muka baru dalam barisan kendalian Frank Lampard itu seperti Timo Werner, Kai Havertz, Ben Chilwell, Hakim Ziyech dan Edouard Mendy belum termasuk dalam laporan itu.



Pengerusi kelab London itu, Bruce Buck, memberitahu laman sesawang kelab: "Sama seperti kebanyakan perniagaan di seluruh dunia, pandemik ini mempunyai pengaruh besar terhadap pendapatan Chelsea.

"Tetapi ini merupakan tanda kekuatan dan kestabilan operasi kewangan kami bahawa syarikat ini masih mampu mencatat keuntungan pada tahun kewangan yang lalu.

"Langkah ini dilakukan sambil kami terus melabur ke atas pemain dan sungguhpun perlawanan terhenti pada Mac tahun lalu, rekod unjuran kami menunjukkan keuntungan dan pulangan.

"Ini mencerminkan penjanaan pendapatan kami untuk tahun kelima berturut-turut.

"Walaupun terkesan dengan COVID-19, aliran pendapatan kami tetap kukuh, pasukan kami berkembang di atas padang dan kelab berada di posisi yang baik untuk terus berkembang sebelum aktiviti bola sepak boleh beroperasi seperti dulu."

Chelsea dimiliki oleh jutawan Russia, Roman Abramovich, sejak 2003.