Chelsea banyak bazirkan peluang -- Lampard

Oleh Staff Writer 19 Januari 2020 441
Chelsea banyak bazirkan peluang -- Lampard
NEWCASTLE 1 CHELSEA 0

Frank Lampard menegaskan Chelsea tidak mampu melakukan lebih lagi daripada apa yang diusahakan dalam latihan untuk memperbaiki sentuhan penyudah dan menggesa pasukannya untuk mencari "naluri pembunuh" di depan gol.


Chelsea gagal menampilkan persembahan terbaik ketika dikecewakan pada penghujung permainan menerusi jaringan Isaac Hayden, sekali gus tewas 1-0 kepada Newcastle United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di St James' Park.

Ketika Joelinton terlebih dahulu menggegar palang gol lawan, Tammy Abraham melepaskan dua peluang terhidang manakala Willian turut gagal menyempurnakan jaringan.

Lampard menjelaskan tiada alasan di sebalik kekalahan itu sambil menegaskan Chelsea perlu menyalahkan diri sendiri di sebalik kegagalan barisan penyerang untuk menjaringkan gol.

"Inilah bola sepak, anda harus menerima sebarang keputusan yang diraih dengan segera. Saya tidak selalunya teliti terhadap statistik tetapi kami perlu mendominasi perlawanan ini," kata Lampard kepada Sky Sports.

"Mereka menggegar palang dengan tandukan, salah satu daripada tiga percubaan mereka berjaya bertukar kepada jaringan. Selain itu, saya tidak ingat ancaman yang mereka hadirkan kepada Chelsea. Kami lebih cenderung melakukan asakan dan mencipta peluang.

"Kami menyedari masalah sentuhan penyudah yang dihadapi pasukan. Kami gagal menghasilkan jaringan dalam perlawanan ini dan ia sesuatu yang telah banyak kami saksikan musim ini, terutama di laman sendiri.

"Hari ini seperti beraksi di laman sendiri berdasarkan persembahan di atas padang dan jika anda tidak menjaringkan gol, pasukan lawan akan mendapatkan jaringan dan ia telah menghukum kami dalam perlawanan ini.

"Kami perlu lebih klinikal dalam perlawanan. Tiada apa yang boleh kami pertingkatkan dalam latihan bagi menggilap lagi sentuhan penyudah pasukan. Naluri pembunuh amat diperlukan dalam usaha menjaringkan gol. Chelsea perlu menjaringkan lebih banyak gol jika mahu mencapai sasaran."



Editor: Ammar Hakim
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen