Dani Ceballos mengakui terkejut dengan tekanan tinggi yang dipamerkan Liverpool sewaktu Arsenal tewas 3-1 di Anfield, bulan lalu.

Mohamed Salah menjaringkan dua gol dan Joel Matip menambah satu jaringan tatkala The Gunners yang turun dengan catatan tanpa kalah berkunjung ke Merseyside untuk aksi ketiga Liga Perdana Inggeris.

Bintang Sepanyol, Ceballos, hanya bertahan selama sejam tetapi juara Eropah itu membuatkan pemain yang dipinjamkan ke Arsenal daripada Real Madrid itu berasa kagum.

"Saya tidak pernah lihat sesuatu seperti di Anfield," katanya.

"Saya tidak pernah melihat sebuah pasukan bermain lebih baik, memberi tekanan seperti mereka serta cara penyokong memberikan sokongan.

"Mereka mengambil kesempatan ke atas anda. Anda menghabiskan masa yang banyak dengan bertahan dan apabila cuba melakukan gerakan atau bernafas seketika, mereka kembali kepada anda. Mereka beraksi dengan kemas."

Ceballos diletakkan di bangku simpanan dalam aksi menentang Tottenham Hotspur selepas itu yang berakhir 2-2 tetapi diketepikan daripada kesebelasan utama tidak menggugat semangatnya di utara London.

"Saya cintakan bandar ini, sukakan Liga Perdana Inggeris. Saya juga sayangkan Arsenal," katanya.

"Saya sangat gembira untuk menjadi sebahagian daripada kelab hebat. Sukar mencari perbezaan di antara Real Madrid dan Arsenal. Penyokong sangat bersemangat dan sayangkan pemain."

Dia juga percaya rangkaian tiga penyerang Arsenal mampu memacu kejayaan buat pasukan, dengan memuji kualiti dimiliki Nicolas Pepe serta melabelkan Alexandre Lacazette sebagai pemain terbaik.

"Anda boleh bandingkan Pierre-Emerick Aubameyang dengan Cristiano Ronaldo sewaktu di Madrid daripada segi cara dekat dengan gawang, sentiasa ingin hasilkan gol," tambah Ceballos.