Penyerang Manchester United, Edinson Cavani, didakwa oleh Persatuan Bolasepak England (FA) kerana salah laku dalam kiriman media sosial, di mana dia didapati menggunakan perkataan yang melanggar sensitiviti perkauman.

Cavani memberikan respons kepada kiriman Instagram Story rakannya selepas kemenangan 3-2 United ke atas Southampton pada 29 November lalu, di mana dia menjaringkan dua gol.

Pemain kebangsaaan Uruguay itu menggunakan frasa Sepanyol dalam kiriman itu, yang kemudian dipadamkan selepas dia diberitahu bahawa ia mungkin merupakan satu kesalahan.

FA kemudian membuka siasatan mereka semalam dan mengumumkan bahawa pemain berusia 33 tahun itu didakwa kerana membawa sukan itu ke arah "tidak sepatutnya" yang boleh mengakibatkan Cavani digantung perlawanan sekiranya didapati bersalah.

Satu kenyataan yang dikeluarkan FA berkata: "Terdapat pertuduhan bahawa, bertentangan dengan peraturan E3.1 FA, satu komen dalam Instagram pemain Manchester United itu merupakan sesuatu yang memalukan dan/atau menghina dan/atau tidak sopan dan/atau membawa permainan ini kepada sesuatu yang tidak sepatutnya.

"Pertuduhan lebih berat bahawa komen itu merupakan 'pelanggaran lebih besar' yang diperuntukkan dalam peraturan E3.2 FA, kerana ia turut merujuk kepada sesuatu yang tersurat atau tersirat berkenaan warna kulit dan/atau bangsa dan/atau asal-usul etnik."

United mengekalkan pendirian awal mereka bahawa mesej Cavani itu tidak mengandungi "niat jahat".

Bekas pemain Paris-Saint Germain itu, yang menjaringkan tiga gol daripada 10 perlawanan dalam kesemua kejohanan musim ini selepas menyertai United secara percuma pada Oktober lalu, mempunyai masa sehingga 4 Januari ini untuk memberikan respons terhadap pertuduhan berkenaan.