Edinson Cavani akur hukuman daripada Persatuan Bolasepak (FA) tetapi menegaskan "hatinya dalam keadaan tenteram" melalui media sosial selepas dikenakan hukuman.

Penyerang Manchester United itu digantung tiga perlawanan dan dijatuhi denda £100,000 (RM550,000) kerana dianggap memuat naik mesej berbaur perkauman di Instagram sejurus kemenangan 3-2 The Red Devils ke atas Southampton 29 November lalu yang menyaksikan pemain berpengalaman itu menyumbat dua gol.

Cavani menggunakan ungkapan Sepanyol dalam catatan itu, yang kemudian dipadam selepas diberitahu tentang potensinya yang mampu mencetuskan kesalahan, namun FA tetap meneruskan tindakan mereka.

Pemain antarabangsa Uruguay itu -- menerusi di Twitter -- meminta maaf atas kesalahan yang ditimbulkan tetapi menegaskan bahawa ia adalah salah faham akibat perbezaan budaya.



"Hai semua. Saya tidak mahu memanjangkan kisah yang tidak selesa saya ini. Saya ingin berkongsi dengan anda bahawa saya akur dengan hukuman tatatertib dan sedar mengetahui bahawa saya masih asing dengan budaya Inggeris, tetapi saya tidak mahu berkongsi pandangan sendiri," tulisnya.

"Saya minta maaf jika telah menyinggung seseorang menerusi perasaan sayang terhadap rakan, tiada niat selain itu.

"Mereka yang mengenali saya tahu bahawa usaha saya selalu membawa kegembiraan dan menjaga persahabatan! Saya menghargai ungkapan sokongan dan kasih sayang yang tidak terkira banyaknya.

"Hati saya tenang kerana saya tahu saya hanya cuba menonjolkan budaya dan cara hidup saya."

Cavani meledak tiga gol dalam sembilan penampilan EPL untuk meletakkan juara 20 kali itu di tangga kedua, tiga mata di belakang pendahulu, Liverpool, dengan baki satu perlawanan.