Carroll, Manquillo meterai perjanjian baru Newcastle 

Oleh Shaiful Shamsudin 26 Jun 2020 172
Carroll, Manquillo meterai perjanjian baru Newcastle 
Andy Carroll dan Javier Manquillo menandatangani perjanjian baru bersama Newcastle United sementara Matty Longstaff bersetuju melanjutkan kontrak untuk jangka masa pendek.

Carroll masih belum menyumbangkan sebarang gol sejak kembali bergabung dengan kelab akademinya itu sebelum bermulanya musim 2019-20 apabila membuat 16 penampilan tetapi hanya empat kali dalam kesebelasan utama dalam musim kedua di St James' Park.

Penyerang itu -- yang angkat kaki ke Liverpool pada hari terakhir perpindahan Januari 2011 kemudian berkelana ke West Ham -- akan kekal di Newcastle untuk tempoh semusim lagi.

Bagi Manquillo pula, pertahanan Sepanyol itu kini terikat dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan hingga 2024 setelah menandatangani perjanjian selama empat tahun.

Justeru pengurus, Steve Bruce, berasa senang dapat mengekalkan kedua-dua anak buahnya itu. 

"Saya gembira kerana Javier Manquillo dan Andy Carroll telah memeterai kontrak baru untuk jangka masa panjang," katanya kepada laman sesawang kelab itu.

"Mereka berdua telah memberikan sumbangan penting musim ini dan saya sangat gembira kerana kami dapat terus menggunakan khidmat mereka musim panas ini."
 
Bagaimanapun, masa depan Longstaff masih belum jelas memandangkan kontrak pemain tengah itu akan berakhir hujung bulan ini sebelum menandatangani perjanjian singkat. 

Nabil Bentaleb dan Danny Rose pada bulan ini juga bersetuju untuk memanjangkan tempoh pinjaman masing-masing daripada Schalke dan Tottenham.

Dalam masa sama, skuad Magpies mengesahkan kesepakatan dengan Inter untuk mengekalkan Valentino Lazaro, yang tiba secara pinjaman Januari lalu tetapi Rob Elliot, Jack Colback dan Jamie Sterry akan dilepaskan sebaik kontrak mereka berakhir.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen