Bos West Ham, Slaven Bilic, melabel Andy Carroll sebagai 'seorang lelaki yang cukup berani', selepas penyerang itu menjadi sasaran rompakan bersenjata.

Pemain England itu dilaporkan terbabit dengan insiden rompakan melibatkan dua penunggang motorsikal pada Rabu lalu -- salah seorangnya mengacukan pistol -- ketika dia sedang memandu pulang selepas selesai menjalani sesi latihan.

Pemain berusia 27 tahun itu kemudiannya memecut kenderaannya biarpun cuba dikejar oleh penjenayah tersebut, sebelum dia memaklumkan kepada pihak berkuasa sebaik kembali ke pusat latihan kelab berkenaan.

West Ham mengesahkan kes itu dalam siasatan pihak polis, dan Bilic memuji reaksi Carroll ketika berdepan situasi mencemaskan itu.

"Dia dalam keadaan baik -- saya baru bercakap dengannya mengenai apa yang berlaku. Ia menakutkan tapi dia dalam keadaan baik," kata Bilic yang sedang mempersiapkan pasukannya untuk menghadapi Stoke City, esok.

"Apabila kami mengetahuinya, sudah tentu kami terkejut. Selalunya kita mendengar perkara ini berlaku di luar negara, jauh dari sini bukan di England. Justeru, kami terkejut, "Di sini? Di London? England? Bagaimana itu boleh berlaku?"

"Malangnya itu yang berlaku.

"Saya berkata kepada Andy bahawa dia seorang yang berani kerana mereka mahukan jam tangan dan sebagainya dengan mengacukan pistol. Dia terus memecut laju dan dia tidak memberikan jam itu kepada mereka. Bagi saya, ia bukan mengenai jam tapi itu tindakan yang sangat berani.

"Dia mungkin menjadi sasaran. Dia dikejar selama 15 hingga 20 minit. Ia bukan berlaku dalam tempoh 10 saat, jadi mungkin sudah dirancangkan. Saya tahu ia satu tindakan yang berani yang dilakukannya.

"Dia kembali ke gelanggang latihan dan semuanya tamat.

"Dia dalam keadaan baik, dia terkejut dan berkelakukan seperti lelaki yang sangat berani. Kami semua bertanya kepadanya dan dia tersenyum. Dia tidak berada dalam keadaan trauma."