Michael Carrick percaya jawatan pengurus pasti menjadi sesuatu yang hebat tetapi menegaskan dia tidak tergesa-gesa untuk mendapatkan status itu.

Bekas pemain tengah England itu kini merupakan salah seorang daripada pembantu Jose Mourinho di Manchester United setelah mengumumkan persaraan selaku pemain, penghujung musim lalu.

Peranan itu jelas membantu individu berusia 37 tahun itu dan dia percaya ia menjadi medan terbaik untuk menyesuaikan diri dalam bidang kejurulatihan dan pengurusan.

"Saya tidak mahu tergesa-gesa dan memberitahu bahawa saya mahu bergelar pengurus United," katanya.

"Menjadi pengurus pastinya hebat tetapi saya tidak berada di kedudukan untuk mendapatkannya. Tidak adil dan tiada rasa hormat untuk bercakap tentangnya ketika ini.

"Saya menikmati tempoh sekarang. Tidak pernah terfikir bahawa saya akan meraih permulaan karier kejurulatihan seperti ini.

"Saya bukan berada di sini selaku pelatih dan hanya belajar. Saya di sini untuk menjalankan tugas dengan baik dan juga meningkatkan diri.

"Ia melibatkan tentang bekerja dengan pemain. Adakah mereka memerlukan bantuan atau dorongan? Itu adalah teknik dalam kejurulatihan dan pengurusan."

Dalam masa sama, Carrick juga tidak mengambil kesempatan dan sedar akan kemungkinan untuk menjadi pengurus ketika ini sangat tipis.

"Saya tidak fikir saya akan menjadi pengurus. Sebenarnya, saya tidak tahu.

"Saya hanya perlu memberikan sumbangan terbaik dan melihat apa yang terjadi selepas itu.

"Saya tidak mengejar status itu. Saya berada di kedudukan terbaik ketika ini. Saya juga tidak bercadang untuk meninggalkan posisi ini dalam masa terdekat hanya untuk melakukan perkara lain," tambahnya.