Pemain tengah Manchester United, Michael Carrick, mendedahkan dia telah menjalani prosedur untuk menyelesaikan masalah "degupan jantung yang tidak teratur" selepas tidak sihat ketika United mencipta kemenangan ke atas Burton Albion dalam aksi Piala EFL.

Kemenangan 4-1 di Old Trafford itu dilihat sebagai satu-satunya penampilan Carrick bersama skuad Jose Mourinho musim ini.

Terdapat laporan yang menyatakan Carrick mengalami masalah kesihatan yang misteri dan pemain berusia 36 tahun itu telah mengeluarkan kenyataan mengenai masalah yang dihadapinya.

"Saya mahu menjelaskan mengenai situasi saya dan mengapa saya masih belum berada pada tahap terbaik sejak kebelakangan ini," katanya.

"Selepas berasa kurang selesa ketika separuh masa kedua bertemu Burton pada September, saya telah menjalani beberapa ujian.

"Ia ternyata disebabkan oleh degupan jantung tidak teratur yang telah dinilai sepenuhnya dan saya telah menjalani prosedur yang dikenali sebagai ablasi jantung," jelasnya.

Carrick turut memberi jaminan dia akan kembali menjalani latihan penuh bersama United dan meletakkan sasaran untuk kembali beraksi dalam masa terdekat.

"Saya masih berusaha untuk kembali pada tahap terbaik. Saya mahu memberikan jaminan kepada semua pihak bahawa saya telah pulih sepenuhnya.

"Saya sedang berusaha meningkatkan tahap kecergasan dan mahu beraksi dalam masa terdekat ini," tambahnya.