Bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher, memohon maaf kepada Patrice Evra dan mengakui pasukannya ketika itu melakukan "kesilapan besar" kerana memakai kemeja T yang menyokong Luis Suarez susulan insiden perkauman di antara dua pemain itu pada 2011.

Suarez menerima penggantungan lapan perlawanan selepas didapati mengeluarkan kata-kata perkauman kepada bekas bintang Perancis itu ketika perlawanan di antara Liverpool dan Manchester United di Anfield pada 2011.

Dalam perlawanan di Old Trafford selepas itu, Evra enggan bersalaman dengan penyerang Uruguay berkenaan.

Namun, selepas hukuman itu diumumkan Persatuan Bolasepak England (FA), pemain Liverpool memakai kemeja T yang menyokong Suarez sewaktu sesi memanaskan badan sebelum menentang Wigan dalam Liga Perdana Inggeris.

"Tidak syak lagi, kami melakukan kesilapan yang besar," katanya dalam rancangan Sky Sports’ Monday Night Football di mana Evra turut diundang sebagai tetamu.

"Saya tidak katakan yang saya tidak terlibat dengannya kerana ia kesilapan seluruh kelab dan saya pula adalah penolong ketua pasukan.

"Saya tidak pasti siapakah dalangnya. Saya fikir dia adalah pemain yang terlalu rapat dengan Luis di dalam bilik persalinan dan dia benar-benar mahu membela rakan sepasukannya itu.

"Mungkin saya tidak mempunyai keberanian sebagai individu untuk berkata 'saya tidak akan mengenakannya'.

"Saya tidak fikir semua di Liverpool berasakan apa yang kami lakukan itu adalah perkara yang betul.

"Reaksi pertama anda adalah untuk melindungi rakan sepasukan anda. Walaupun anda tahu mereka melakukan sesuatu yang salah. Dan itu adalah kesilapan.

"Saya tidak menggalakkan apa yang kami lakukan. Maaf, kami melakukan kesilapan yang besar," katanya.

Evra turut mengakui dia berasa terkejut apabila melihat tingkah-laku seperti itu daripada pemain Liverpool.

"Apabila saya melihatnya, saya berasakan ia amat mengarut, ia amat sukar dipercayai.

"Anda sentiasa perlu menyokong rakan sepasukan anda tetapi ia berlaku selepas hukuman itu.

"Apakah mesej yang anda cuba sampaikan kepada dunia?

"Menyokong seseorang yang dihukum kerana menggunakan kata-kata perkauman?" soalnya.