Kejayaan Harry Kane meledak gol peribadi ke-137 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika membantu Tottenham Hotspur membenam West Ham 2-0 pada Rabu, membuktikan kapten England itu berada di kelas tersendiri.

Kane kini sudah meraih 137 gol dalam 200 penampilan pertama bersama Tottenham dan catatan itu mengatasi rekod Thiery Henry dengan 130 gol dalam 200 penampilan pertamanya dengan Arsenal.

Hanya Sergio Aguero mempunyai rekod lebih baik dengan 138 gol dalam 200 penampilan pertama dengan Manchester City.

Catatan Kane turut mengatasi pencapaian pemain lain bersama sebuah kelab iaitu Micheal Owen (118 gol) dan Robbie Fowler (128 gol) buat Liverpool.



"Kane mungkin adalah penyerang Inggeris atau bola sepak Inggeris terbaik yang pernah dilahirkan.

"Dia cukup tenang di depan gol, seorang penyerang yang lengkap dan juga masih mempunyai waktu untuk terus mencapai lebih banyak kejuaraan dan rekod.

"Dia seorang pemain berkelas dunia, baru pulih daripada kecederaan dan terus meraih gol membuktikan kualitinya," kata bekas penyerang Chelsea dan West Ham, Carlton Cole ketika menjadi tetamu siaran langsung Tottenham-West Ham bersama Gary Stevens yang disiarkan di saluran CH813 Astro Supersport pada Rabu.

Stevens pula berasa kejayaan yang diraih Kane ketika ini adalah hasil usaha kerasnya.

"Terdapat banyak keraguan terhadap potensi Kane pada usia muda sama ada dia mampu berjaya sebagai seorang pemain atau sebaliknya.

"Dia beberapa kali dipinjamkan kepada kelab lain sebelum ini dan dia bekerja keras untuk ke tahap sekarang, mempunyai kecergasan baik serta fokus dalam permainannya.

"Kane mampu menjaringkan gol dengan pelbagai cara, gol malam ini walaupun situasi satu lawan satu dengan penjaga gol tetapi dia melakukan rembatan dari luar kotak penalti.

"Jadi ia akan dikira sebagai gol seorang penyerang dari luar kotak penalti dan dia juga mempunyai penyudah cukup tajam dalam kotak penalti," kata Stevens yang juga bekas pemain Tottenham.



Dalam pada itu, Cole dan Stevens akui situasi makin sukar buat pengurus West Ham, David Moyes selepas tumbang kepada Spurs.

"Moyes hanya bersama pasukan pada pertenghan musim dan ia bukan mudah buatnya kerana dia perlu segera membentuk keserasian di kalangan pemain.

"Bukan saja Moyes atau kapten pasukan tetapi kesemua pemain West Ham perlu memberi komitmen terbaik dan mengerah segala kudrat mengelakkan penyingkiran," kata Cole.

Stevens pula berasa masalah West Ham adalah barisan benteng dan serangan yang tidak ampuh

"Dua perlawanan sebelum ini mereka seri tanpa dibolosi tetapi juga gagal meraih gol.

"Jadi jentera serangan kurang berfungsi dan benteng pula tidak lagi ampuh selwpas dibolosi dua gol selepas aksi pagi Rabu.

"Apabila berada hampir dengan zon penyingkiran, anda perlu dua bahagian ini berfungsi dengan berkesan," kata Stevens.