Calvert-Lewin: Peluang dibimbing Ancelotti satu keistimewaan 

Oleh Staff Writer 5 Januari 2020 107
Calvert-Lewin: Peluang dibimbing Ancelotti satu keistimewaan 
Dominic Calvert-Lewin berkata ia adalah satu "keistimewaan" untuk bekerja di bawah bimbingan Carlo Ancelotti dalam tempoh yang "sukar dipercayai" buat Everton. 

Pengurus dari Itali itu mengambil alih jawatan  berkenaan sebelum Krismas lalu susulan pemecatan Marco Silva, awal bulan lalu, berikutan kekalahan dalam 'derby' Merseyside yang meninggalkan kelab tersebut di zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL). 

Everton akan membuat satu lagi kunjungan ke Anfield untuk menghadapi pendahulu liga, Liverpool, dalam pusingan ketiga Piala FA tengah malam ini.

The Toffees memenangi dua perlawanan pertama mereka di bawah asuhan Ancelotti sebelum  ditundukkan Manchester City 1-2 untuk membuatkan Calvert-Lewin teruja beraksi di bawah pengurus berkaliber seperti Ancelotti.

"Dia adalah salah seorang pengurus tersohor di dunia dan sebagai anak muda yang sedang membesar, anda telah melihatnya di televisyen ketika mengemudi beberapa kelab gergasi," kata penyerang itu, yang menyumbat tiga gol dalam dua perlawanan pertama di bawah bimbingan Ancelotti, kepada BBC Sport.

"Untuk mendapatkan khidmatnya ketika ini, apabila anda mula-mula melihatnya, anda agak terkejut. Dia mempunyai aura. Ini disebabkan kredibiliti dan atas apa yang telah dilakukannya dalam bola sepak.

"Peluang bekerja dengannya pada setiap hari adalah satu bentuk keistimewaan. Dia seorang pengurus yang tahu bagaimana untuk memenangi sesuatu dan tahu bagaimana untuk bekerja dengan pemain yang hebat.

"Sebagai sebuah kelab, ini adalah masa yang menggembirakan. Untuk memiliki seorang pengurus seperti apa yang pernah dicapainya, ia sangat mengujakan. 

"Ia adalah tempoh yang sukar untuk dipercayai sebagai peminat dan pemain Everton. Saya amat bersemangat untuk menempuhi masa depan."

Kemenangan terakhir Everton dalam pertemuan 'derby' Merseyside itu adalah pada 2010 manakala mereka gagal menewaskan seteru tempatan berkenaan di Anfield sejak September 1999.

Begitupun, penggempur berumur 22 tahun tersebut berharap dapat mengubah rekod itu pada hujung minggu ini.

"Kami mahu menjadi yang pertama untuk merealisasikannya dan mengubahnya," tambahnya.




Editor: Shaiful Shamsudin 

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen