Penyerang Everton, Dominic Calvert-Lewin, seperti tidak percaya keputusan pegawai perlawanan menafikan jaringan kemenangannya menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR) ketika berdepan Manchester United, semalam.

Aksi di Goodison Park semalam dalam kedudukan 1-1 ketika Calvert-Lewin meledakkan rembatan yang terkena kaki Harry Maguire sebelum melepasi David de Gea pada minit ke-92.

Namun, kegembiraan Everton dinafikan teknologi VAR yang mendakwa Gylfi Sigurdsson -- yang terbaring dalam kedudukan ofsaid -- mengganggu de Gea untuk menghalang bola masuk ke gawang.

Namun, penyerang itu berkata de Gea sememangnya tidak berpeluang untuk menafikan percubaan itu dan gol tersebut sepatutnya dikira.

"Ia satu malapetaka! Sigurdsson langsung tidak mengganggu penglihatan bola," katanya.

"Ketika itu, saya tidak pasti tetapi selepas melihatnya semula, saya fikir posisi Sigurdsson tidak mengganggu penglihatan.

"Ya, dia dalam kedudukan ofsaid tetapi ia adalah hasil bola terkena pemain United, penjaga gol ke arah lain.

"Penjaga gol itu tidak akan dapat menyelamatkan bola tersebut, jadi saya tidak pasti.

"Bagi saya, sebagai seorang penyerang, saya fikir ia gol yang sah tetapi VAR berkata sebaliknya, mematikan emosi di penghujung perlawanan. Apa yang boleh anda katakan?"

Dalam masa sama, pengurus Everton, Carlo Ancelotti, yang dilayangkan kad merah kerana protes terhadap keputusan itu juga tidak pasti mengapa jaringan itu dibatalkan.

"Sigurdsson dalam kedudukan ofsaid tetapi bagi kami, ia tidak mengganggu penglihatan penjaga gol," katanya.

"Saya meminta penjelasan selepas perlawanan. Terdapat salah faham dan saya diarah meninggalkan padang. Selepas perlawanan, saya bercakap dengan pengadil tetapi ia adalah rahsia kami.

"Saya tetap menghormatinya. Lihat nanti, ia keputusan yang sukar."