Cahill perlu keluar dari Chelsea jika mahu beraksi -- Sarri

Oleh Penulis Jemputan 13 Disember 2018 1619
 Cahill perlu keluar dari Chelsea jika mahu beraksi -- Sarri
Gary Cahill tidak mempunyai keupayaan teknikal untuk merebut tempat dalam skuad Chelsea, demikian kata pengurus, Maurizio Sarri, yang mengakui pemain berusia 32 tahun itu mungkin perlu meninggalkan kelab untuk beraksi dengan kerap. 

Sarri, yang sedang mempersiapkan pasukannya untuk menghadapi Vidi bagi aksi terakhir Kumpulan L, Liga Europa, awal pagi esok -- masih belum memilih Cahill untuk memulakan sebarag aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan pertahanan itu kini memasuki tahun terakhir kontraknya di Stamford Bridge.

Keadaan ini menghangatkan spekulasi mengaitkan Cahill akan ke Arsenal dalam jendela perpindahan bulan depan sementara Sarri tidak menyangkal bahawa masa depan pemain England itu di Chelsea sudah berakhir.

"Saya menghormatinya kerana dia telah memenangi segala-galanya dengan kelab ini," kata Sarri kepada pemberita.

"Saya perlu melaksanakan tugas saya. Dalam setiap pertandingan, saya perlu membuat pilihan. Bagi saya, dia tidak boleh berada di bangku simpanan.

"Mungkin dia adalah yang terbaik di dalam kawasan penalti, bagaimanapun pertahanan kami perlu membuat 100 atau 110 hantaran dalam setiap perlawanan. 

"Oleh itu, saya memerlukan pertahanan yang berteknikal tinggi."

Mengenai kemungkinan Cahill disisihkan, beliau menambah: "Ia bukan keputusan saya, terserah kepadanya dan kelab."

Cahill menyertai Chelsea dari Bolton Wanderers pada Januari 2012 dan telah membantu kelab London itu memenangi gelaran EPL sebanyak dua kali selain Liga Juara-Juara pada 2012 dan Liga Europa pada tahun berikutnya.

Dia telah menjulang Piala FA sebanyak dua kali dan Piala Liga Inggeris (EFL) sepanjang memperkasakan Chelsea, namun Sarri menjelaskan kelab itu tidak cenderung untuk menawarkan kontrak jangka panjang kepada pemain yang melebihi umur 30 tahun.

"Dia berada dalam tahun terakhir kontraknya," kata Sarri. 

"Dia perlu memenangi kontrak baru di sini atau di kelab lain.

"Bagi pemain berusia lebih dari 30 tahun, kelab biasanya hanya akan menawarkan kontrak setahun. 

"Jika dia mendapat tawaran tiga tahun, dia tentu saja boleh berbuat sesuatu (perpindahan dari Chelsea).

"Ia bukan bergantung sama ada saya bersifat sentimental atau tidak," tambahnya. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen