Pertahanan Chelsea, Gary Cahill, menjangkakan perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang sengit musim ini selepas skuad kendalian Antonio Conte memastikan mereka masih dalam persaingan selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Southampton di St Mary.

Gol sumbangan Eden Hazard dan Diego Costa memastikan The Blues hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Manchester City, Arsenal dan Liverpool.

Cahill dan barisan pertahanan lain telah memastikan gawang mereka gagal dibolosi sejak Conte menerapkan formasi 3-4-3 dalam kemenangan ke atas Hull bulan ini.

"Rekod Southampton di laman sendiri cukup baik, kami sedar akan perkara itu tetapi kami juga tahu jika kami mampu meneruskan momentum sedia ada, kemenangan mampu digapai.

"Empat kemenangan berturut-turut tanpa sebarang bolos -- kami akan meneruskan momentum ini.

"Kami perlukan pemain seperti Hazard dan Costa yang mampu mengubah perlawanan dalam masa singkat. Kami berbesar hati kerana memiliki pemain seperti mereka."

Berkenaan dengan perebutan kejuaraan musim ini, Cahill berkata: "Masih awal untuk mana-mana pasukan bercakap tentang menjuarai liga musim ini, tetapi apa yang penting adalah memastikan kami kekal di kelompok atasan.

"Kami mahu kekal berada di atas. Saya tidak dapat melihat mana-mana pasukan yang mampu mengesahkan kejuaraan awal musim ini."

Chelsea bakal menerima kunjungan Everton minggu hadapan.