Pep Guardiola percaya dia telah mengatasi rintangan utamanya di Manchester City.

City tercicir 17 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, menjelang pertemuan dengan Arsenal sambil berdepan hakikat bahawa impian memburu gelaran ketiga berturut-turut telah terpadam.

Akibatnya, tumpuan semakin terarah kepada masa depan pengurus mereka itu sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Guardiola memasuki musim keempatnya di Stadium Etihad, yang bermaksud dia akan menyamai tempoh terpanjangnya di sesebuah kelab sejak mengendalikan Barcelona dari musim 2009 hingga akhir 2012.

Bekas pengurus Bayern Munich itu menafikan laporan minggu ini berkaitan kontraknya di City, yang akan berakhir pada 2021, mempunyai klausa rehat pada akhir musim ini selain sempat meluahkan hasratnya untuk melanjutkan kontrak.

Bagaimanapun, dia tidak terlintas untuk cuba membangkitkan semula dominasi mereka di England, yang menyaksikan City menang lima daripada enam trofi utama, termasuk rentetan kejuaraan Perisai Komuniti, memandangkan falsafah permainannya di Stadium Etihad sudah menjadi kenyataan.

"Saya sudah memenuhi cabaran itu -- datang ke sini dan cuba menerapkan gaya permainan saya seperti di Barcelona dan Bayern Munich," katanya.

"Itulah cabaran besar buat saya dan akhirnya di England, kami dapat beraksi dengan cara yang kami mahukan dan kami juga memenangi gelaran yang mencukupi.

"Memandangkan kesukaran dalam kancah ini, tujuh gelaran dalam tiga musim tidaklah buruk.

"Cabarannya ketika ini adalah untuk mengekalkan apa yang kami lakukan sejak awal dan kami sedikit bergelut, khususnya kerana kami menghadapi lawan yang tidak keciciran mata. Jika mereka terlepas peluang untuk meraih mata, maka dapatlah kami menghambat mereka tetapi kedudukan kami sangat jauh.

"Sasaran kami ketika ini adalah untuk memenangi perlawanan seterusnya -- fokus kepada perebutan trofi dan cuba memenangi perlawanan Liga Perdana."

Kemenangan 4-1 di Dinamo Zagreb dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL) pada pertengahan minggu ini menyaksikan City bangkit daripada kekalahan 'derby' 1-2 kepada Manchester United hujung minggu lalu.

Sehubungan itu, Guardiola berasakan prestasi tidak menentu menjadi bahagian penting dalam perkembangan kelab berkenaan.

"Untuk kekal memungut 100, 98 mata sepanjang tiga atau empat tahun... Saya tahu ia akan menjadi sukar," kata Guardiola.

"Apabila kami tiba di sini, standard untuk menang adalah dengan pungutan 85, 90 mata. Sekarang kami perlu mencapai hampir 100 mata untuk memenangi Liga Perdana.

"Dengan bantuan Liverpool, kami dapat melakukan langkah itu dan kini ia tahap yang perlu dicapai. Sebelum ia terjadi, kamilah yang menjadi puncanya.

"Dalam tempoh 11 tahun yang lalu, tiada juara yang memenangi gelaran liga secara berturut-turut dan kami berjaya melakukannya. Kami menang 14 perlawanan berturut-turut pada akhir musim lalu. Sebab itulah apabila orang mengatakan kami tidak bagus, saya masih tidak dapat melupakan apa yang dicapai oleh pasukan ini.

"Kadang-kadang dalam proses itu, termasuklah pasukan bola keranjang NBA dan pemain tenis yang luar biasa sekalipun, akan ada detik anda sedikit bergelut pada musim itu. Saya mahu mengatakan ia adalah normal.

"Keadaan yang kami hadapi ini sebagai kelab, sebagai sebuah pasukan, akan membantu kami pada masa akan datang. Saya lebih suka sekiranya dapat menghampiri Liverpool, ia akan membantu kami.

"Mungkin selepas meraih empat gelaran semusim, kami percaya kami adalah pasukan yang hebat sedangkan tidak. Realitinya dalam sukan, anda perlu terus mengulanginya."

Guardiola menyimpulkan analisis itu dengan memberi gambaran yang lebih jelas mengenai masa depannya berhubung beberapa pengumuman yang dibuatnya baru-baru ini.

"Dalam perlawanan akan datang, kami akan melihat sejauh mana kami sebagai sebuah pasukan dan pada akhir musim pula, kami perlu menilai adakah kami cukup bagus.

"Yang pertama, sebagai pengurus untuk meneruskan khidmat dan kemudian, di pihak pemain bagi meneruskan perjuangan musim depan," katanya.

"Untuk menganalisisnya pada akhir musim sangat mudah."