Bintang Manchester United, Bruno Fernandes, menegaskan bahawa dia tidak perlu direhatkan selepas dimasukkan sebagai pemain gantian sebelum menjaringkan gol kemenangan ke atas Liverpool dalam Piala FA.

Fernandes merupakan salah seorang pemain gantian yang dimasukkan ketika United meraih kemenangan 3-2 dalam pusingan keempat Piala FA di Old Trafford hujung minggu lalu, di mana dia dimasukkan dalam babak kedua dan menjaringkan gol kemenangan melalui sepakan percumanya pada minit ke-78.

Pemain kebangsaan Portugal itu kini telah menjaringkan 28 gol buat United dalam kesemua kejohanan sejak menyertai pasukan itu pada Februari 2020 -- lebih banyak berbanding mana-mana pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) lain sepanjang tempoh itu.

Fernandes memberikan nafas baru buat United, yang pada mulanya bergelut merebut tempat ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan tetapi kini berada di puncak EPL selepas 19 perlawanan.

Tetapi pemain tengah itu menolak tanggapan bahawa dia sedang kepenatan dengan berkata: "Penat? Pada usia 26 tahun saya tidak boleh berasa penat.

"Jika saya penat sekarang, ketika saya berusia 30, 32 tahun, saya sudah tidak dapat bermain.

"Saya bermain satu perlawanan dalam lima hari, jadi tidak, saya tidak penat," katanya.

Fernandes, yang digugurkan daripada kesebelasan utama untuk memberi laluan kepada Donny van de Beek ketika menentang Liverpool, menambah: "Sudah pasti jurulatih tahu apa yang lebih baik untuk pasukan ini dan dia memilih Donny untuk memberikan kesegaran buat pasukan ini.

"Saya fikir ia cukup adil kerana Donny berlatih dengan bersungguh-sungguh, dia pemain yang amat penting buat kami dan akan menjadi lebih penting pada masa akan datang."