Bruno Fernandes pemangkin kebangkitan Manchester United — Higginbotham

Oleh Fadzrie Hazis 5 Julai 2020 84
Bruno Fernandes pemangkin kebangkitan Manchester United — Higginbotham
Bekas pertahanan Manchester United, Danny Higginbotham memuji kelibat Bruno Fernandes bersama bekas kelabnya itu ketika ini yang disifatkan sebagai pemain yang memberikan impak positif buat pasukan.

Higginbotham turut menyifatkan pemain tengah antarabangsa Portugal itu sebagai seorang pemain yang bermain secara berpasukan, selain mempunyai karisma dan turut meningkatkan moral rakan lain dalam perlawanan.

"Fernandes seorang pemain yang mengutamakan pasukan apabila dia boleh mengambil sepakan penalti berdepan Bournemouth, tetapi memberikan kepada Marcus Rashford mengambilnya meskipun sebelum ini dia ada menyempurnakan penalti buat pasukan.

"Tetapi dia juga mempunyai sedikit kesombongan terhadap lawan seperti Eric Cantona ketika bermain dan apabila anda bermain untuk kelab  sebesar United, anda perlukan sedikit keseombangan itu.

"Pemain berkelas dunia akan membabitkan rakan sepasukan dalam permainan, berupaya mengubah corak permainan pasukan dan rakan-rakan juga tampak percayakan Fernandes ketika beraksi," kata Higginbotham ketika menjadi tetamu bersama Gary Stevens siaran langsung aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United-Bournemouth  di saluran CH813 Astro Supersport pada Sabtu.



Meskipun United menang 5-2 ke atas pelawat dan melonjak ke tangga keempat EPL untuk sementara, Higginbotham tetap berasa The Red Devils perlu menguatkan skuad dengan membeli seorang lagi bek tengah berwibawa serta menambah pilihan di bahagian sayap untuk saingan musim depan.

"Ketika ini Liverpool dan Manchester City adalah dua pasukan yang mampu memberi tekanan kepada lawan apabila mereka kehilangan bola dalam perlawanan, tetapi United juga mampu melakukannya dan tidak berada jauh daripada dua pasukan itu.

"Namun mereka masih perlu menguatkan benteng dengan membeli seorang pertahanan berkualiti dan sebelum ini, United dikaitkan dengan pemain sayap muda, Jadon Sancho dan jika dia menyertai United ia akan menambah pilihan di bahagian sayap kanan.

"Untuk pemain pertahanan tengah, saya amat meminati Kalidou Koulibaly dan saya tahu Liverpool dan City turut meminatinya tetapi jika dia ke United, ia mampu melengkapkan lagi skuad kini musim depan," kata Higginbotham.

Tentang Penulis

Fadzrie Hazis

Komen