WEST HAM 0 BRIGHTON 3

Slaven Bilic tidak mahu bersembunyi selepas West Ham mudah diratah Brighton & Hove Albion di Stadium London, awal pagi tadi.


Selepas memulakan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan rentetan tiga kekalahan, West Ham hanya tumpas sekali daripada lima perlawanan selepas itu, sekaligus meredakan tekanan yang dihadapi oleh bekas pengendali Croatia itu.

Bagaimanapun, Brighton, yang sebelum ini kemarau kemenangan dalam EPL, memberi kekalahan terburuk The Hammers kepada pasukan yang baru dipromosi, di laman sendiri sejak 1931 untuk meletakkan skuad bimbingan Bilic itu dalam situasi bahaya.

West Ham mungkin menamatkan hujung minggu ini dalam zon penyingkiran dan bakal menghadapi Crystal Palace dalam 'derby' London minggu depan yang boleh menjadi penentu kepada nasib Bilic.

Pengurus berusia 49 tahun itu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan awal pagi tadi itu dan berasakan jaringan Jose Izquierdo dalam masa kecederaan babak pertama menjadi titik tolak perlawanan.

"Ahli lembaga pengarah akan melakukan apa yang boleh mereka lakukan, ia keputusan mereka. Kami pernah berada dalam situasi ini sebelum ini dan kami berjaya keluar," kata Bilic kepada Sky Sports.

"Sebagai pengurus, anda dipuji dan sebagai pengurus juga, anda bertanggungjawab penuh.

"Saya tidak mahu bersembunyi, saya tidak bimbang tentang pemecatan. Saya melakukan yang terbaik.

"Ia adalah prestasi yang buruk, jaringan itu membunuh kami dan gol pertama sangat pantas. Di antara gol pertama dan kedua itu, kami menguasai permainan.

"Mereka bertahan dengan baik pada penghujung babak pertama dengan sedikit kemahiran daripada pemain mereka, sangat sukar untuk saya mengatakan sesuatu yang bijak pada masa ini selain daripada sangat kecewa."

Pengurus Brighton, Chris Hughton, gembira dengan usaha bertahan anak buahnya untuk mereka meraih kemenangan sulung dalam EPL.

"Saya fikir ia luar biasa," kata Hughton. "Sebahagian besar perlawanan ini adalah bagaimana anda bertahan, anda tidak boleh menghentikan semua hantaran lintang -- mereka mempunyai kualiti yang sangat baik -- tetapi anda perlu bertahan dengan baik. Ia memberi anda platform kepada peluang kami dan kami menyudahkannya," katanya.

"Saya gembira tanpa dibolosi selain daripada gol-gol itu. Kami menggunakan bola dengan baik, membatalkan kualiti yang ada dan menjaringkan gol yang baik.

"Untuk pulang dengan kemenangan tanpa dibolosi dalam perlawanan seperti ini menunjukkan kualiti dan disiplin sebenar pemain-pemain."