Philippe Coutinho dijangka terlepas aksi ujian Brazil menentang Jepun akibat kecederaan otot, bagaimanapun dia bersedia untuk diturunkan menghadapi England, menurut doktor pasukan kebangsaan Brazil, Rodrigo Lasmar.

Kali terakhir bintang Liverpool itu bermain adalah dalam kekalahan 4-1 kepada Tottenham Hotspur pada 22 Oktober lalu, sebelum masalah paha memaksanya berehat dalam tiga perlawanan berikutnya.

Jurulatih Brazil, Tite, tetap menyenaraikan Coutinho di sebalik kecederaannya itu dan mungkin berpotensi turun tanpanya dalam kedua-dua perlawanan berkenaan berikutan pemain berusia 25 tahun itu masih belum bersempatan menyentuh bola dalam latihan.

Lasmar berpendapat pertembungan dengan Jepun minggu ini terlalu awal buat Couthino tetapi mereka sedang gigih untuk memastikan pemain lincah itu dapat beraksi di Wembley, minggu depan.

"Coutinho mengalami kecederaan otot paha kiri," katanya kepada Globo Esporte.

"Dia berada di peringkat akhir pemulihan. Kami tahu bahawa dia tidak akan berada dalam keadaan sempurna, bagaimanapun kami memilih untuk membuat proses pemulihan terakhirnya dengan kami.

"Kemungkinan dia bermain bertemu Jepun adalah tipis, namun kami berusaha untuk memastikan dia mampu menentang England.

"Dia mungkin tidak boleh mengambil bahagian bertemu Jepun. Jika dia mampu sekalipun, maka dia akan kekal di bangku simpanan dan hanya tampil selama beberapa minit.

"Tetapi, peluangnya tipis. Fokus kami adalah untuk mendapatkannya kembali dalam perlawanan kedua," ujarnya.