Bournemouth tidak takut Manchester United -- Francis

Oleh Penulis Jemputan 2 November 2018 198
Bournemouth tidak takut Manchester United -- Francis
Pertahanan AFC Bournemouth, Simon Francis, percaya bahawa tiada apa yang perlu ditakutkan pasukannya ketika menentang Manchester United, sebaliknya menyatakan pasukannya itu mungkin pasukan pilihan menjelang aksi Liga Perdana Inggeris, malam esok.

Skuad kendalian Eddie Howe itu akan menanti kunjungan United dengan mereka kini berada di kedudukan keenam liga, tiga mata mengatasi United di kedudukan kelapan.

Bagi Francis, aksi dalam saingan awal musim ini menyaksikan pasukannya lebih berhak menjadi pasukan pilihan dalam aksi yang bakal berlangsung di Stadium Vitality itu nanti.

"Tiada apa yang perlu ditakuti. Berdasarkan prestasi terkini, kami mungkin pasukan pilihan untuk menang," katanya kepada The Mirror.

"Kami tidak lagi memperlihatkannya sebagai perlawanan yang sukar kerana kami berkeyakinan untuk menewaskan mereka.

"Ketika musim pertama dahulu, tiada siapa sangka kami akan memperoleh mata berdepan pasukan besar, namun ini sudah musim keempat buat kami dan perkara itu tidak lagi sama," katanya.

Francis, yang pasukannya kini hanya enam mata di belakang pendahulu Manchester City dan Liverpool, menyatakan bahawa pasukannya itu perlu menundukkan United.

"Perlawanan seperti ini yang kami perlu manfaatkan dengan keadaan yang mencekik leher mereka, kami perlu menewaskan Manchester United.

"Pasukan saya terlalu menginginkannya tetapi mengapa tidak? Kami berada dalam prestasi yang baik.

"Kami akan pastikan perlawanan itu sesuatu yang akan diingati oleh penyokong kami," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen