Bosnich yakin kemampuan gandingan Pogba, Fernandes

Oleh Nafis Abdullah 17 April 2020 231
Bosnich yakin kemampuan gandingan Pogba, Fernandes
Mark Bosnich mempertahankan Paul Pogba untuk kekal di Manchester United dan percaya pemain tengah itu mampu mencipta gandingan mantap dengan bruno Fernandes.

Pogba hanya melakukan lapan penampilan dalam semua kejohanan musim ini tatkala dia dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Old Trafford.

Real Madrid dan bekas kelabnya, Juventus, dikatakan berminat dengan khidmat tonggak tengah Perancis itu tetapi bekas penjaga gol United, Bosnich, melihat Pogba mampu kekal bersama United.

"Jika saya perlu meletakkan wang sekarang, saya benar-benar berfikir dia akan kekal," katanya.

"Jika anda memiliki pemain dalam bilik persalinan tidak kira ia Pogba atau Paul Smith, anda melepaskannya dalam cara paling mesra.

"Tiada guna untuk mengekalkan seseorang yang tidak mahu berada dalam kelab anda kerana ia memberi kesan kepada prestasi serta seluruh pasukan."

Pogba semakin hampir untuk kembali beraksi tetapi tertangguh akibat wabak coronavirus tatkala tiada tarikh yang ditetapkan untuk saingan disambung semula.

United mengharungi 11 perlawanan tanpa kalah sebelum saingan ditangguhkan dan ia dilihat susulan kehadiran Fernandes.

Bosnich berpendapat Pogba akan menyertai barisan pemain yang berbeza berbanding kali terakhir dia beraksi.

"Tidak dinafikan Pogba adalah pemain bertaraf dunia," tambahnya.

"Saya menyaksikannya secara langsung ketika Piala Dunia 2018 dan dia sangat hebat.

"Kehadiran Fernandes dan corak permainan pasukan yang hebat memberikan perbezaan besar.

"Jika Pogba kembali dan beraksi mengikut potensi dimiliki, ia satu perkhabaran hebat, bukan hanya untuknya dan Fernandes tetapi buat United serta semua penyokong."


Sejak menyertai United pada Januari lalu, Fernandes telah mencipta tiga gol dan empat bantuan jaringan dalam sembilan pernampilan pertama sekali gus meraih pujian Bosnich.

"Dia seorang pemain hebat. Sesiapa yang mengikuti perkembangannya di Sporting Lisbon pasti sedar kehebatannya," tambah bekas penjaga gol Australia itu.

"Walaupun jika anda tidak menyaksikan aksinya ketika di Portugal, lihat sahaja statistik jaringan dan bantuan gol yang dihasilkan.

"Saya tidak fikir ramai yang menjangkakan dia dapat menyesuaikan diri dengan pantas tetapi ia bagus buat dirinya, kelab serta pengendali, Ole Gunnar Solskjaer.

"Saya sangat gembira untuk pemain dan kelab serta tidak sabar melihat mereka kembali beraksi."

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen