LEICESTER CITY 2 EVERTON 0

Pengurus sementara Everton, David Unsworth, berkata prestasi separuh masa pertama pasukannya ketika menentang Leicester City "tidak boleh diterima" dan meminta pengurus tetap seterusnya diberikan masa bagi menangani masalah pasukan.


Gol daripada Jamie Vardy dan Demarai Grey dalam babak pertama di Stadium King Power membuatkan Everton mengharungi tujuh perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan dalam semua pertandingan tetapi Unsworth gembira dengan peningkatan pasukannya pada babak kedua.

Dia berkata prestasi Everton ketika tewas 2-1 di tangan Chelsea dalam Piala Liga pada pertengahan minggu adalah seperti diharapkan, namun mengakui mereka gagal bermain baik di Leicester.

"Sesiapa yang mendapat kepercayaan sebagai pengurus Everton, termasuk saya, memerlukan masa bersama pasukan ini," kata Unsworth kepada Sky Sports.

"Setiap jurulatih mempunyai idea tentang bagaimana mahu bermain -- saya pasti melakukannya -- tetapi ia memerlukan masa.

"Separuh masa kedua adalah lebih baik. Penguasaan perlawanan sudah ada.

"Tetapi kami memberi mereka pendahuluan pada babak pertama. Formasi dan taktik tidak menjadi jika kami tidak menguasai perlawanan. Di atas sebab tertentu, kami tidak melakukannya dalam separuh masa pertama," tambahnya.

Unsworth dijangka terus mengendalikan Everton ketika mereka berkunjung ke Perancis untuk menghadapi Lyon dalam Liga Europa, Khamis ini, dan bekas bek Toffees itu menegaskan dia akan terus memilih pemain berdasarkan prestasi semasa dan bukannya reputasi.

Ditanya sama ada pemain mahal baru Everton sedang berhempas-pulas di Goodison Park, Unsworth berkata: "Pemain tidak menetapkan harga tapi jelas ada banyak pemain baru dalam pasukan.

"Saya hanya memilih pasukan, dengan penilaian semula daripada apa yang kami rasa pasukan terbaik untuk pergi dan cuba menang.

"Tahap prestasi di Chelsea sangat hebat. Hari ini, aksi babak pertama tidak dapat diterima tetapi kami bertindak balas dan tidak mendapat gol.

"Saya akan memilih pasukan berdasarkan siapa yang saya fikir patut bermain, bukannya reputasi," katanya.