Bisa Rashford ditagih robek City 

Oleh Staff Writer 7 Disember 2019 189
Bisa Rashford ditagih robek City 
Ole Gunnar Solskjaer menggalakkan Marcus Rashford agar mengekalkan rekod jaringan mengagumkannya tatkala dia menggesa Manchester United supaya mempamerkan ketekalan dalam perlawanan 'derby' awal pagi esok.

United menuju ke Stadium Etihad dengan keyakinan susulan kemenangan 2-1 ke atas Tottenham, pertengahan minggu ini, namun akan turun tanpa Paul Pogba yang tercedera sejak September lalu.

Khidmat Anthony Martial boleh digunakan dengan potensi diletakkan di bangku simpanan ketika The Red Devils berusaha untuk menyekat aspirasi Manchester City untuk mendakap kejuaraan liga. 

Rashford meledak kedua-dua gol ke atas Spurs dan kini telah terlibat secara langsung dalam 14 gol dalam 13 perlawanan terakhirnya di peringkat kelab dan negara sejak menemui sentuhan berbisa pada pertengahan Oktober lalu. 

Larian derasnya menjadi nadi utama kepada harapan United untuk merobek gawang lawan di sebalik gagal mengekalkan rekod tanpa bolos dalam lapan percubaan.

Justeru, pengurus itu mendorong pemain antarabangsa England berkenaan untuk terus berkembang sebagai penggempur berbisa. 

"Dia melakukannya pada masa ini," kata pengurus United itu.

"Bagaimana dia gagal menyumbat gol ketika menentang Aston Villa (adalah sukar untuk saya jelaskan). Tetapi dia sedang meledak gol secara tekal. 

"Dia mendapat peluang gol secara tekal dan berada di kedudukan yang lebih baik. Sukar mempercayai prestasinya pada Rabu lalu (awal pagi Khamis) dan kami mahu melihatnya lagi."

Solskjaer mengharapkan tindak balas yang sama daripada rakan sepasukan Rashford selepas United mengakhiri tiga perlawanan tanpa kemenangan menerusi kejayaan ke atas Tottenham di Old Trafford.

United belum memenangi sebarang perlawanan liga secara berturut-turut sejak Mac lalu.

"Kami akan menentang pasukan terbaik di England, jadi ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar tetapi kami memerlukan ketekalan," katanya. 

"Saya sempat berkata sebelum perlawanan dengan Tottenham, semua orang dalam keadaan kecewa dan suram tetapi itulah peluangnya buat kami untuk mengubah keraguan berkenaan. Bagi kami, jika kami dapat menghasilkan satu lagi prestasi yang memberangsangkan, keyakinan akan berkembang.

"Corak permainan kami ketika menentang Tottenham, jika kami boleh mengulanginya di Etihad, saya pasti kami boleh keluar dengan kemenangan. 

"Orang berkata: 'Mengapa anda tidak meraih keputusan yang lebih baik dalam perlawanan yang lain?' Tetapi kancah Liga Perdana adalah sukar, tidak kira siapa yang anda hadapi, jurangnya adalah kecil. Saya fikir ia merupakan satu pujian kepada liga ini. "

Solskjaer turut berharap Pogba akan kembali daripada kecederaan buku lali sebelum penghujung bulan ini.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen