Pengurus Leicester City, Brendan Rodgers, menegaskan bahawa kelab itu tidak akan menjual mana-mana bintang mereka melainkan jika kelab itu memutuskan mahu mereka pergi.

The Foxes kini menempuhi musim yang hebat apabila menghuni tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL), berada dalam separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) selain akan menentang Wigan Athletic dalam Piala FA hari ini.

Prestasi mereka itu menyaksikan beberapa pemain utama hangat dikaitkan dengan penghijrahan apabila Manchester United dikatakan meminati James Maddison manakala Ben Chilwell menjadi buruan Chelsea dan Manchester City.

Rodgers, bagaimanapun, belum bersedia untuk melayani tawaran ke atas mana-mana anak buahnya di Stadium King Power.

"Tiada siapa yang akan pergi dari sini jika kami tidak mengizinkannya," katanya kepada pemberita semalam.

"Saya fikir kami mempunyai beberapa tawaran daripada segi meminjam tonggak, termasuk beberapa pemain muda kami.

"Tetapi pemain yang selalu digembar-gemburkan tidak akan pergi."

Rodgers berhasrat menyuntik beberapa pemain baru dalam jendela perpindahan bulan ini bagi membantu Leicester memberi saingan dalam kelompok empat teratas tetapi akur berdepan kesukaran untuk memancing pemain.

"Kami sedar jika kami akan bermain di pentas Eropah musim depan, kami akan memerlukan pilihan pemain yang lebih ramai tetapi Januari adalah bulan yang sangat sukar (untuk membeli pemain)," katanya.

"Saya fikir kami akan melihat sama ada boleh memperbaiki skuad ini dan jika tidak, kami perlu menunggu sehingga musim panas kelak tetapi seperti yang saya katakan sebelum, kami di kedudukan yang benar-benar baik dan kami tidak mahu mempunyai lambakan pemain.

"Kami hanya perlukan pemain yang akan memperbaiki skuad."



Editor: Shaiful Shamsudin