Slaven Bilic menafikan West Ham mempunyai masalah disiplin sungguhpun kad merah Andy Carroll ketika menentang Burnley akan menafikan kelibatnya dalam pertemuan dengan Brighton & Hove Albion.

Bilic berharap Javier Hernandez akan kembali daripada kecederaan hamstring dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium London minggu ini manakala Diafra Sakho tersisih akbat kecederaan belakang.

Penyerang England itu menerima dua kad kuning dalam tempoh yang singkat di Turf Moor kerana kesalahan serupa apabila menyiku penjaga gol utama Clarets, James Tarkowski dan Ben Mee.

Ia adalah insiden kad merah ke-12 Hammers sejak dikemudi oleh Bilic dalam tempoh dua tahun lebih, tetapi pengurus dari Croatia itu tidak percaya ia adalah bukti masalah yang sedang dihadapi pasukannya.

"Tidak ada kad merah kerana masalah disiplin," katanya dalam sidang akhbar.

"Tiada sesiapa yang menghantuk kepala lawan. Beberapa daripada kad merah itu telah dirayu tetapi ditolak.

"Tiga atau empat daripadanya adalah kesilapan besar, saya tidak ingat mana-mana kesalahan itu yang boleh dikaitkan dengan masalah disiplin di atas padang sehingga menjejaskan pasukan.

"Tetapi ya, kami mempunyai 12 kad merah dalam tempoh dua setengah tahun," katanya.

Kedudukan Bilic sebagai bos Hammers terancam dalam awal saingan musim ini, namun satu kekalahan dalam enam perlawanan sedikit sebanyak meredakan tekanan mereka.

"Ia lebih tenang ketika ini, namun ia boleh berubah.

"Kami masih dalam kedudukan itu, lima pasukan kini terikat dengan lapan mata. Jika kami mendapatkan tiga mata, maka ia akan mempunyai minggu yang tenang, kemudian akan kembali berdepan masalah pula selepas itu.

"Itulah sebabnya kami perlu mencapai sesuatu yang besar. Tidak ada sebab, masa atau keperluan untuk kami menumpukan kepada perkara-perkara itu," katanya.