Bilic enggan gusar dengan kedudukannya selaku pengurus

Oleh Staff Writer 2 Oktober 2016 2
Bilic enggan gusar dengan kedudukannya selaku pengurus

Slaven Bilic menegaskan dia tidak gusar dengan kedudukannya selaku pengurus meskipun gagal melakar kemenangan selepas lima perlawanan Liga Perdana Inggeris setakat ini.

Gol penyamaan hasil gerakan solo Dimitri Payet memastikan The Hammers berjaya mengutip satu mata di hadapan penyokong sendiri ketika berdepan Middlesborough pada Sabtu.

Keputusan 1-1 itu mengakhiri mimpi buruk Bilic yang tewas dalam empat perlawanan sebelum ini, namun dia menegaskan tidak gusar dengan situasi itu.

"Saya sedar apa yang berlaku, saya bukan muka baru dalam bola sepak. Saya tidak memikirkan tentang masa depan saya dan tugas saya di sini," kata Bilic.

"Saya tidak senang hati dengan kedudukan kami ketika ini.

"Pemain saya cukup bertenaga dan bekerja keras di atas padang. Saya tidak boleh katakan bahawa saya gembira dengan situasi ini tetapi saya positif kami akan bangkit pada masa akan datang. Kami mendapat satu mata selepas tewas empat perlawanan, jadi itu adalah bukti pemain mula bangkit.

"Pada masa sama, satu mata ini tidak memadai kerana kami mahu menang selepas tewas dua perlawanan di laman sendiri sebelum ini.

"Adakah saya bersikap optimistik? Sudah tentu kerana kami mempamerkan kebangkitan dan mula bermain sebagai satu pasukan."

Sementara itu, Bilic memuji sikap ditonjolkan Payet, namun mencabar pemain lain untuk cuba menyamai kualiti dan kesungguhan pemain Perancis itu.

"Terima kasih kepada Payet kerana menghadirkan gol penyamaan, dia mampu mengubah nasib kami musim ini.

"Dia seorang pemain bertaraf dunia, namun pemain lain juga perlu menampakkan karektor yang sama."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen