Romelu Lukaku mendedahkan dia terpaksa menurunkan berat badan selepas menambah terlalu banyak otot dalam kempen Piala Dunia Russia bersama Belgium setelah penyerang Manchester United tersebut mula mendapat rentak ekoran permulaan perlahan musim ini.

Lukaku membantu Belgium mara ke separuh akhir Piala Dunia dengan empat gol, namun bintang United itu bergelut bersama Red Devils musim ini dengan hanya merakamkan enam gol daripada 15 perlawanan.

Pemain berusia 25 tahun itu -- yang dikritik serta mengalami nasib pasang surut dalam skuad utama --kembali menemui sentuhan penyudah ketika membelasah pasukan kerdil, Fulham, 4-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam untuk gol liga pertamanya di Old Trafford sejak Mac lalu.

Bercakap mengenai situasi Piala Dunia yang masih membelenggunya, Lukaku mengakui susuk tubuhnya adalah punca kegagalannya untuk menyerlah pada musim 2018-19.

"Saya menambah sedikit otot dalam Piala Dunia," kata Lukaku. "Saya hanya berasa hebat dan saya fikir saya bermain hebat di Russia tetapi sebaik kembali ke kelab, ia adalah gaya bola sepak yang berbeza.

"Dalam EPL, saya tidak boleh bermain dengan jumlah otot yang sama seperti yang saya lakukan dalam perlawanan antarabangsa.

"Apabila saya kembali, saya sedar saya tidak boleh bermain dengan gaya ini.

"Pada dasarnya, saya terpaksa mengecilkan otot. Jadi saya perlu mengelakkan sesi gim, minum banyak air, makan banyak sayur-sayuran dan ikan, ia membantu."

Tambah Lukaku: "Saya mengadakan perbualan yang baik dengan pengurus dalam beberapa hari terakhir (sebelum bertemu Fulham) dan dia memberitahu mengenai tuntutannya terhadap saya. Saya sedar perlu beraksi dengan lebih baik.

"Saya tidak menampilkan aksi berintensiti tinggi atau agresif yang cukup tetapi ketika berdepan Fulham, saya telah beraksi dengan keamatan seperti yang dilakukan oleh pemain lain.

"Selepas Piala Dunia, saya fikir saya agak keletihan. Saya mengalami perkara yang sama selepas Piala Dunia 2014 ketika kembali ke Everton. Saya benar-benar mengalami kemerosotan prestasi selepas Piala Dunia.

"Saya menyedarinya, jadi saya melakukan banyak ujian bersama-sama kakitangan perubatan untuk mengetahui punca masalahnya. Saya juga mengalami kecederaan hamstring, ia sesuatu yang tidak pernah berlaku kepada saya.

"Saya hanya perlu berlatih dengan cara yang berbeza, menumpukan perhatian kepada pencegahan (kecederaan) ketika latihan di gim selain cuba melakukan banyak pecutan semasa latihan dan bagi saya, ia adalah aspek paling penting.

"Saya juga masih 'terperangkap' dengan kempen Piala Dunia kerana ia cabaran yang sengit. Ia pencapaian yang sungguh hebat kerana kami begitu dekat untuk menjuarainya.

"Tetapi, saya kembali di tahap yang lebih baik dan bersedia untuk berjuang lagi.

"Saya hanya memandang ke depan dan cuba memperbaiki prestasi, meningkatkan permainan saya dan membantu pasukan untuk mencatat kemenangan."