Bersatu kunci utama kebangkitan United -- Lukaku

Oleh Penulis Jemputan 8 Oktober 2018 363
Bersatu kunci utama kebangkitan United -- Lukaku
Romelu Lukaku percaya Manchester United mempamerkan kebangkitan menerusi pasukan yang sangat utuh selepas mereka bergelut untuk menewaskan Newcastle United 3-2, kelmarin.

Tatkala Jose Mourinho dilaporkan semakin hampir dengan pemecatan selaku pengurus United, The Red Devils ketinggalan 2-0 selepas 10 minit di laman sendiri sebelum menyumbat tiga gol dalam tempoh 20 minit terakhir untuk mengesahkan kemenangan dramatik.

Keadaan persekitaran dalam kelab dilihat menjadi punca kritikan sambil anak-anak buah Mourinho itu bergelut pada musim ini tetapi Lukaku menegaskan terdapat semangat yang kuat di Old Trafford.

"Pasukan kami sangat hebat. Kami melakukan banyak perkara bersama-sama. Kami sentiasa menjadi pasukan yang utuh," kata Lukaku.

"Setiap kali ada pemain baru hadir, kami akan cuba membuatkannya selesa dan itu kunci utama. Bilik persalinan tampak bagus dan ia sentiasa berlaku di United. Kami melakukan apa yang perlu.

"Kami memenangi perlawanan dan harus menjadi positif, memikirkan aksi seterusnya," ujarnya.

Bagaimanapun, Lukaku tidak berpuas hati dengan situasi di United tatkala mereka menduduki tangga kelapan liga dan menyeru agar seluruh pasukan dapat mengubah kedudukan itu selepas tamat aksi antarabangsa.

"Saya boleh ke Belgium dengan perasaan lega tetapi akhirnya, kami tidak berada di tempat yang sepatutnya," tambahnya.

"Saya akan menyertai skuad Belgium, diharapkan kami mampu beraksi dengan baik tetapi saya memiliki dua aksi penting selepas kembali nanti."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen