Bernardo Silva akui kagum dengan Mourinho

Oleh Penulis Jemputan 28 Oktober 2017 2623
Bernardo Silva akui kagum dengan Mourinho
Pemain tengah Manchester City, Bernardo Silva, tidak menyembunyikan rasa minatnya terhadap pengurus Manchester United, Jose Mourinho, walaupun pengendali dari Portugal itu mengemudi pasukan musuh setempat.

Silva menyertai City menerusi perpindahan bernilai GBP43 juta (RM239 juta) selepas mengharungi kempen cemerlang bersama AS Monaco pada musim lalu apabila menjuarai Ligue 1 dan layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Perpindahannya ke Etihad menyaksikan dia mewakili pasukan musuh utama Mourinho, namun ia tidak memadamkan kekagumannya terhadap pengurus berusia 54 tahun itu.

"Jose Mourinho adalah pengurus yang banyak berbicara mengenai bola sepak Portugal, memberikan dimensi yang nyata buat bola sepak kami.

"Dia adalah individu yang sangat saya hormati. Saya menemuinya baru-baru di lapangan terbang, kami bertegur sapa dan berbual seketika.

"Ya, dia seorang musuh ketat dan saya mahu menewaskannya, tetapi saya sangat menghormati Mourinho dan minat dengan segala pencapaiannya dalam bola sepak," kata Silva.

Dalam masa sama, pemenang EURO 2016 itu juga mempertahankan pemain United yang juga rakan sepasukannya ketika di Benfica, Victor Lindelof, selepas pertahanan Sweden itu melalui aksi longlai ketika Red Devils tewas 1-2 di tangan Huddersfield Town, hujung minggu lalu.

"Saya amat mengenali Lindelof kerana telah bersamanya ketika berada dalam pasukan B di Benfica dan dia adalah rakan saya.

"Lindelof adalah pemain yang berkualiti, sentiasa mahu memegang bola. Di England, setiap pertahanan pastinya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri kerana ia lebih agresif.

"Saya harap segala-galanya berjalan lancar buatnya," katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen