Pep Guardiola percaya persembahan Manchester City ketika berdepan Tottenham, di sebalik kecewa dengan keputusan seri 2-2, telah memberikan bukti bahawa juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu itu mampu sekali lagi meningkatkan mutu permainan.

City muncul juara liga dua kali berturut-turut, merekodkan 100 mata bagi musim 2017-18 dan kemudian berjaya mengatasi juara Eropah musim lalu.

Skuad kendalian Guardiola itu dalam misi menjulang trofi EPL buat kali ketiga musim ini, namun permulaan mereka tersekat apabila terpaksa berkongsi mata dengan Spurs minggu lalu, dengan jaringan kemenangan Gabriel Jesus dalam masa kecederaan telah ditarik balik.

Bagaimanapun, selepas mendominasi Tottenham sepanjang permainan, Guardiola mencadangkan persembahan City jauh lebih baik berbanding kemenangan yang dilakar sebelum ini ketika Chelsea dibelasah 6-0.

"Cara kami bermain berdepan Tottenham membuktikan kami mampu melakukan lebih baik berbanding musim lalu," kata Guardiola.

"Sebagai contoh, perlawanan berdepan Chelsea musim lalu, kami meraih kemenangan 6-0 dan perlawanan berdepan Tottenham jauh lebih baik berbanding Chelsea. Tetapi bertemu Chelsea, lima kali percubaan di depan pintu gol, kami meledak empat.

"Saya berasakan ia adalah sesuatu yang mustahil untuk mengekalkan cara kami bermain dalam jadual yang padat. Kami telah mengharungi permulaan yang agak sukar, namun pemain telah berusaha memberikan yang terbaik."
Pembaziran peluang merupakan isu ketika berdepan Tottenham tetapi City telah menjaringkan 201 gol sepanjang dua musim lalu, namun Guardiola tidak bimbang dan berasakan ia bukan satu masalah buat mereka.

"Dengan jumlah jaringan yang diledak pasukan sejak dua musim lalu, saya tidak meragui kemampuan pasukan untuk menjaringkan banyak gol musim ini," katanya lagi.

"Kami tidak memiliki pemain seperti Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi yang menjaringkan 50 atau 60 gol semusim tetapi sejak dua musim lalu, kami sepasukan mencetak banyak jaringan.

"Kami perlu terus mencipta peluang demi peluang dan kemarau jaringan tidak mungkin hadir kepada kami."