Bekas bintang Manchester United, Dimitar Berbatov, mendesak penyokong supaya memberi ruang buat Romelu Lukaku yang sedang mengharungi tempoh sukar sambil menegaskan penyerang itu menawarkan lebih daripada sekadar gol.

Pemain antarabangsa Belgium itu menyumbat gol dalam kemenangan 4-1 United di Fulham semalam, dengan meledak gol di Old Trafford buat kali pertama dalam kempen liga sejak Mac lalu.

Ia jaringan keenamnya daripada 15 perlawanan, dengan Lukaku bergelut untuk mencari rentak musim ini.

Penyerang tersebut sukar mengukuhkan tempatnya selain menjadi sasaran kritikan peminat, namun Berbatov berpendapat Lukaku sedang diadili dengan keras dan yakin ada banyak aspek lain yang ditawarkan dalam permainannya.

Bercakap kepada Sky Sports, Berbatov berkata: "Mengapa orang sering menumpukan perhatian kepada perkara seperti ini?

"Penyerang hari ini menawarkan lebih daripada sekadar jaringan, bagaimana (kritikan) itu akan membantu sesiapa? Tidakkah anda fikir dia tahu bahawa dia tidak banyak menyumbat gol baru-baru ini? Adalah penting (dia menjaringkan gol ke atas Fulham). Saya yakin dia akan berasa lega.

"Bagaimanapun, saya tidak faham tumpuan yang diberikan kepadanya . Ia sikap yang negatif, bagaimana ia akan membantu keyakinannya?

"Saya menggemarinya kerana dia bagus dalam kawalan bola, dia kuat. Jika sentuhan pertamanya tidak bagus seperti pemain lain, maka berilah bola yang dia boleh dikendalikan. Pastikan perkara itu. Dia memerlukan keyakinan untuk meledak gol," katanya lagi.