Berbatov kagum, mahu Pogba kekal di Manchester United

Oleh Muzaffar Musa 19 Januari 2021 1071
Berbatov kagum, mahu Pogba kekal di Manchester United
Dimitar Berbatov berharap "drama" yang menyelubungi masa depan Paul Pogba akan tamat selepas pemain tengah itu semakin membuktikan pengaruhnya dalam permainan Manchester United.

Ejen Pogba, Mino Raiola, mendedahkan bulan lalu -- sebelum pertemuan dengan RB Leipzig dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) -- bahawa dia menjangkakan pemain kebangsaan Perancis itu akan meninggalkan Old Trafford pada 2021 tetapi bukan dalam jendela perpindahan bulan ini.

Pemain tengah itu, yang masih memiliki kontrak sehingga 2022, bukan lagi muka tetap dalam kesebelasan utama musim ini, namun impak yang diberikannya kepada pasukan itu semakin dapat dilihat dalam beberapa minggu ini.

Gol kemenangannya ketika menentang Burnley telah melonjakkan skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) -- mereka mengekalkan kedudukan itu selepas mengikat juara bertahan, Liverpool, 0-0 di Anfield awal pagi semalam.

Pogba gagal menyempurnakan peluang terbaiknya pada lewat permainan di Anfield yang mungkin memberikan pasukannya tiga mata tetapi bekas penyerang skuad The Red Devils itu, Berbatov, kagum dengan apa yang dipamerkan oleh pemain yang amat dikenalinya itu.
 
"Ia sudah lama sejak kali terakhir saya melihat dia berjuang di atas padang, memintas bola, membaca permainan," kata berbatov kepada Stats Perform News.

"Dalam perlawanan menentang Liverpool, bagi saya, dia sekali lagi mempamerkan trend seperti itu. Dia kembali ampuh di atas padang, mencuba untuk membaca dan mengawal permainan, bertahan dan melakukan pintasan.

"Peluang itu diperolehnya kerana dia sekali lagi berada dalam kotak dan mencuba untuk menjaringkan gol walaupun ia tidak menjadi kali ini. Selepas ini, ia pasti menjadi.

"Tetapi seperti yang saya kerap katakan sebelum ini, saya harap drama TV berkenaannya -- sama ada dia akan kekal atau tidak -- akan berakhir dan kita tidak perlu lagi memperkatakan mengenainya.

"Saya mahukan dia kekal kerana sudah mengenalinya sejak dia menyertai sesi latihan kami sebagai pemain remaja. Anda terus dapat melihat bakat yang dimilikinya.

"Jika dia menumpukan 100 peratus buat pasukan ini, dia akan berada di tahap yang saya fikir tidak banyak pemain mampu mencapainya dengan cara yang dilakukannya," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen