NEWCASTLE UNITED 2 AFC BOURNEMOUTH 1

Pengurus Newcastle United, Rafael Benitez, memuji sikap bersaing yang dipamerkan Salomon Randon yang menjaringkan dua gol ketika pasukannya menewaskan AFC Bournemouth di St James Park, malam tadi.


Rondon menemui jaringan seawal minit ketujuh sebelum dia menyajikan tandukan menarik bagi memastikan kemenangan 2-1 Newcastle dalam perlawanan yang turut menyaksikan Jefferson Lerma mucul penjaring tunggal pelawat.

Selepas 10 perlawanan tanpa sebarang kemenangan terhadap pasukan di kelompok atasan liga, Newcastle kini memenangi dua perlawanan yang melonjakkan mereka ke tangga ke-14 buat kali pertama sejak April lalu.

Benitez gembira dengan apa yang diberikan Rondon sambil menyatakan penyerang itu boleh melakukannya dengan lebih baik andai lebih cergas.

"Rondon melakukannya dengan baik. Dia mampu meningkat andai lebih cergas," katanya kepada BBC Sport.

"Dia membuktikan kemampuannya dan memberikan sesuatu buat kami.

"Kami tahu ia perlawanan yang sukar memandangkan mereka dalam prestasi yang baik. Kami perlu memberikan pujian terhadap barisan pemain. Mereka beraksi sangat baik untuk memberikan segala yang mereka ada.

"Kami pernah beraksi baik sebelum ini, namun mentaliti seperti itu yang diperlukan untuk bersaing.

"Mereka mengubah corak permainan selepas waktu rehat dan kami perlu melakukan yang sama.

"Kami berjaya menempuhinya. Mereka amat baik di bahagian serangan, namun kami berjaya meraih kemenangan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Rondon berkata: "Kami perlu berlaku jujur. Ini adalah cara yang perlu dikekalkan untuk terus bersaing.

"Kami dapat melihat tahap sebenar permainan kami dan kami perlu teruskan bermain seperti itu.

"Saya sangat gembira. Kami bermain dengan baik.

"Saya perlu teruskan usaha. tugas saya adalah untuk menjaringkan gol."