Benitez positif di sebalik Newcastle ikat Southampton 

Oleh Penulis Jemputan 28 Oktober 2018 64
Benitez positif di sebalik Newcastle ikat Southampton 
SOUTHAMPTON 0 NEWCASTLE UNITED 0

Pengurus Newcastle United, Rafael Benitez, menganggap satu mata yang dipungut di Southampton sebagai keputusan positif selepas seri tanpa jaringan di St Mary, awal pagi tadi. 


The Magpies gagal menghasilkan sebarang percubaan tepat ke sasaran apabila penantian untuk merakamkan kemenangan sulung musim ini berlarutan sehingga bulan depan, namun keputusan seri itu sudah cukup untuk mengeluarkan mereka dari zon penyingkiran menerusi perbezaan gol.

Newcastle gagal memenangi mana-mana 10 perlawanan awal kempen liga mereka buat pertama kalinya sejak musim 1898-99, namun Benitez menyatakan kepuasan terhadap prestasi pasukannya berdasarkan situasi semasa mereka. 

"Saya fikir kami perlu mempertimbangkan keadaan, iaitu kami bertandang ke laman lawan dengan reputasi berada dalam zon penyingkiran. Kemudian kami mengelak daripada dibolosi dan meraih satu mata, anda perlu menganggap ini pencapaian yang lebih positif daripada negatif," kata Benitez.

"Mereka bekerja keras dalam babak kedua, jadi kami lakukan dengan baik untuk memastikan tidak dibolosi.

"Penguasaan permainan yang lebih baik kadang-kadang boleh menjadi perbezaan buat kami mencipta lebih banyak peluang. Perkara positif bagi saya, pasukan ini sangat bekerja keras, anda dapat lihat semangat mereka, anda dapat lihat pemain berjuang dalam keadaan sukar sehingga minit terakhir permainan. 

"Pada ketika ini, adalah lebih penting untuk mengambil aspek positif berbanding yang negatif," ujarnya.

Pengurus Southampton, Mark Hughes, berasa kegopohan di hadapan gawang merencatkan usaha mereka. 

Mohamed Elyounoussi, Mario Lemina dan Shane Long mempunyai peluang terbaik untuk memecah kebuntuan tersebut. 

"Kami merupakan pasukan yang cuba memenangi perlawanan ini sepanjang 90 minit," kata Hughes. "Saya fikir kami mempunyai peluang yang lebih baik. Saya tidak fikir Alex McCarthy mempunyai sebarang percubaan tepat ke sasaran dalam tempoh 90 minit.

"Kami mahukan tiga mata dan kami berhak tetapi perlawanan ini berakhir dengan rekod tanpa dibolosi berturut-turut. Kami telah memperkemaskan bahagian pertahanan yang membolehkan kami beraksi lebih yakin untuk mengatur serangan. 

"Jelas sekali, kami mempunyai sedikit kegopohan dalam penyudah, saya fikir kadang-kadang apabila kami mendapat peluang, pemain mungkin bertindak merembatnya sedangkan umpanan boleh dilakukan. 

"Ia boleh difahami memandangkan kami beberapa kali tercicir mata beraksi di tempat sendiri, kadang-kadang kami hanya menampilkan kegopohan dalam permainan kami."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen