WEST HAM 2 NEWCASTLE UNITED 3

Rafael Benitez gembira melihat Newcastle United akhirnya meraih ganjaran atas usaha mereka selepas mengakhiri kemarau kemenangan dalam sembilan perlawanan dengan mengatasi West Ham 3-2.


Dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi, Magpies bangkit dalam pertemuan di Stadium London itu menerusi sepakan percuma Henri Saivet dan Mohamed Diame yang meletakkan Newcastle 2-1 di hadapan selepas Marko Arnautovic membuka jaringan pada minit keenam.

Rob Elliot mengekalkan tempatnya dalam kesebelasan utama apabila menyelamatkan sepakan penalti kontroversi Andre Ayew sebelum Christian Atsu menjadikan kedudukan 3-1.

Kemenangan berganda ke atas West Ham itu pada musim ini membantu Newcastle untuk keluar daripada zon penyingkiran dan Benitez memberitahu sidang media selepas perlawanan: "Saya pernah katakan sebelum ini, ia tempoh yang sukar ketika anda mengharungi keputusan-keputusan yang buruk, tetapi kami lebih berhak meraih keputusan lebih baik dalam beberapa perlawanan. Adalah penting untuk kami meraih kemenangan.

"Ia adalah hari yang hebat buat peminat, pemain dan semua orang, kami telah bekerja keras dan hari ini pasukan ini berjuang untuk segala-galanya."

Mengenai keputusan penalti itu yang dihadiahkan selepas Ciaran Clark mengasari Michail Antonio di luar kotak penalti, Benitez menambah: "Itu pasti di luar kawasan penalti. Kadang-kadang apabila anda berada dalam keadaan yang tidak bagus, situasi tidak akan memihak kepada anda.

"Percubaan kami terkena palang dan kemudian lawan diberikan penalti itu, tetapi mujur ia diselamatkan. Untungnya kami berjaya dan kami mencetak gol yang mencukupi untuk menang," tambahnya.

Ini merupakan kekalahan pertama West Ham sejak diterajui David Moyes untuk mereka menduduki tangga ke-17, satu mata di atas zon penyingkiran susulan kebangkitan mereka kebelakangan ini.

Pengurus dari Scotland itu menerima kekalahan itu sambil merujuk ketiadaan Manuel Lanzini akibat penggantungan sebagai penyebab utama aksi longlai mereka.

Moyes memberitahu BBC Sport: "Ia adalah permainan yang penuh dengan kesilapan dan secara keseluruhannya, kami mendominasi mereka.

"Kami tidak begitu bersatu, kami sedang berusaha keras tetapi tidak dapat menemui jalan penyudah walaupun menguasai keseluruhan permainan.

"Kami tidak bermain dengan baik untuk memulakan permainan di bahagian pertahanan dan kami gagal memanfaatkan penalti. Dua kali ia berlaku sejak saya berada di sini.

"Kemudian, kami melepaskan gol ketiga. Jelas sekali kami merindui Manuel Lanzini.

"Apapun keputusannya pada masa ini, kami perlu mengalihkan perhatian kepada perlawanan seterusnya," katanya.