Pengurus Newcastle United, Rafael Benitez, menyatakan rasa simpati terhadap penyokong pasukannya yang sanggup datang dari jauh, namun kecewa selepas diikat 2-2 oleh Southampton, awal pagi tadi.

Dua gol daripada Manolo Gabbiadini menafikan jaringan pendahuluan daripada Isaac Hayden dan Ayoze Perez, sekaligus meletakkan Newcastle kini di tangga kesembilan liga dengan 11 mata.

Keputusan itu membuatkan pengendali dari Sepanyol itu berasa kasihan melihat begitu ramai penyokong tegar yang sanggup meredah perjalanan sejauh 650 batu untuk ke selatan England.

"Saya berasa kasihan dengan mereka. Selepas mendapat sokongan 3,500 penyokong dalam aksi sebegini jauh, agak mengecewakan kami gagal mendapat mata penuh dan tidak berjaya membuat mereka gembira.

"Ia sesuatu yang sukar, namun sekurang-kurangnya kami berjaya membawa pulang satu mata dan seluruh pasukan menunjukkan kami berjaya menamatkan perlawanan dengan aksi yang bagus. Kami menggunakan setiap kesempatan dan menjaringkan gol," katanya.

Sekiranya The Magpies berjaya menewaskan Southampton, mereka kini sedang menikmati kedudukan liga mengatasi Liverpool, Arsenal dan Chelsea, tetapi sekadar berpuas hati dengan kelebihan dua mata mengatasi Saints selepas keputusan seri di St Mary.

"Kami harus bertahan dengan lebih baik dan lebih berdisplin ketika menyerang.

"Saya tetap berpuas hati dengan aksi pemain-pemain."

Sementara itu, pengendali Southampton, Mauricio Pellegrino, yang pernah beraksi di bawah kendalian Benitez sewaktu di Valencia, turut berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya.

"Ia satu perlawanan yang hebat. Pada pendapat saya, kami melepaskan gol yang mudah.

"Tetapi saya perlu mengucapkan tahniah kepada mereka selepas bertindak balas terhadap jaringan lawan, dalam masa sama perlu terus memperbaiki segala kesilapan," ujar Pellegrino.