Peminat Manchester United sepatutnya bersabar dengan Jose Mourinho ketika dia sedang membentuk skuadnya mengikut acuannya, menurut ikon Chelsea, Marcel Desailly.

Skuad bimbingan Mourinho itu tumpas 1-0 di Stamford Bridge, sekaligus tercicir lapan mata kepada pendahulu, Manchester City, dalam perlumbaan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Pengurus Portugis itu menjulang trofi Piala Liga Inggeris (EFL) dan Liga Europa pada musim pertamanya di Old Trafford, namun tercicir kepada seteru setempat, City, dalam kancah liga musim ini.

Bagaimanapun, Desailly percaya Mourinho sepatutnya kekal dengan gaya sentuhannya yang tersendiri berikutan pendekatan permainan mereka masih belum mencapai tahap kepuasannya.

"Dia harus kekal sebagai Mourinho, dia tahu kapasiti pasukannya," kata Desailly kepada Omnisport menjelang Anugerah Golden Foot Hublot di Monaco.

"Dia kelihatan tidak mempunyai pasukan yang dihajatinya berbanding dengan (Pep) Guardiola yang benar-benar memilih setiap pemain. Mourinho pula masih berurusan dengan beberapa pemain yang dia tidak begitu gemari dalam sistemnya.

"Dia melakukannya dengan baik, jadi saya berharap United akan menyinar seperti ketika era Alex Ferguson.

"Tetapi ia adalah tugas sukar. Dalam setiap perlawanan, pemain dan pengurus memikul sejarah yang besar. Jadi, berikan dia masa," katanya lagi.